MACAM tongkang pecah! Begitulah keadaan di dalam salah sebuah hotel selepas ditinggalkan oleh individu-individu yang menjalani kuarantin COVID-19 di situ.
Gambar-gambar bilik dan perabot yang tunggang-langgang di hotel yang tidak dinyatakan lokasinya itu dikongsikan dalam laman Facebook Public Health Malaysia.
Selain suasana yang kotor dan bersepah, penginap-penginap terbabit turut menyebabkan kerosakan pada perabot dan peralatan seperti televisyen dan cerek elektrik.
Netizen yang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab ‘kluster pengotor’ itu mencadangkan supaya pengurusan hotel meminta ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan.
Memang mereka patut bayar pun sebab perkara itu dinyatakan secara jelas dalam terma dan syarat yang mesti dipatuhi semasa menjalani kuarantin di hotel.
Sikap buruk ‘kluster pengotor’ itu adalah jauh berbeza dengan ‘kluster tabligh’ yang meninggalkan bilik-bilik di pusat kuarantin mereka dalam keadaan bersih dan teratur.
Bagaimana keadaannya ketika mereka datang, begitulah juga keadaannya apabila mereka pergi.
Mungkin penginap-penginap terbabit berasa tertekan kerana tidak boleh keluar bilik sepanjang tempoh kuarantin.
Namun, itu bukan alasan untuk mereka bersikap seperti golongan yang tidak bertamadun. – EDISI9