PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bukan mudah untuk ‘memujuk’ ahli parti untuk menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu percaya, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami bersedia untuk bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait dengan kerjasama antara UMNO dan DAP,” katanya semasa menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Pekarangan Maahad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui, di Machang Kelantan.
Katanya, perspektif negatif dan bersifat kebencian yang ditanam oleh kepimpinan terdahulu sukar untuk dikikis.
“Dulu pengundi Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada calon MCA dan MIC. Untuk itu, kita akan gunakan kaedah yang sama bukan atas nama parti, tetapi atas rasa kebersamaan dalam kerajaan perpaduan.
“Lebih dua dekad kebencian penyokong terhadap sesuatu kumpulan telah ditanam dan tempoh itu bukan mudah untuk dirungkaikan,”katanya.
Semalam ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ahli parti itu perlu melihat calon DAP dalam pilihan raya negeri akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan parti itu sendiri.
“Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tapi atas nama kerajaan perpaduan,”katanya. – Edisi 9

