28.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Dharma Raj ditawarkan kerakyatan Indonesia

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

BEKAS ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah mengakui ditawarkan kewarganegaraan Indonesia bagi meneruskan usaha membangun dan memajukan sukan hoki republik itu.

Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia merangkap pengendali kedua-dua skuad hoki dalam dewan serta padang lelaki dan wanita negara itu berkata, tawaran tersebut dibuat Federasi Hoki Indonesia sebelum Sukan SEA Kemboja 2023 bermula.

Muhammad Dharma berkatam tawaran itu sedang dinilai daripada pelbagai sudut secara teliti, memandangkan beliau terpaksa melepaskan status kerakyatannya.

“Melepaskan kerakyatan adalah salah satu yang harus difikirkan sebaik-baiknya, kalau saya memilih menjadi warganegara Indonesia saya perlu lepaskan taraf kerakyatan Malaysia.

“Sebenarnya saya sudah memaklumkan kepada keluarga, tetapi isteri dan anak saya tak nak jadi (warganegara Indonesia), mereka ingin kekal tinggal di Malaysia, tetapi Malaysia ke Indonesia hanya dua jam menaiki pesawat,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu kepada Bernama, hari ini.

Muhammad Dharma Raj berkata, rasa cinta terhadap keluarga hoki Indonesia yang menerimanya selepas kontrak bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tamat pada Disember 2019, mendorong beliau mempertimbangkan tawaran yang diberi.

Advertisements

Beliau memutuskan untuk tidak memohon kembali jawatan sebagai jurulatih skuad hoki wanita negara kerana berasa seperti diaibkan susulan terdapat dakwaan dirinya berpaling tadah terhadap KHM.

Katanya, beliau bekerja keras membalas kepercayaan yang diberi Konfederasi Hoki Indonesia untuk membangun dan memajukan hoki negara jiran itu kerana mahu melupakan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima selepas lebih 10 tahun menabur bakti kepada skuad kebangsaan.

“Pasukan hoki wilayah Jawa Barat merupakan pasukan pertama saya di sana dan skuad dalam dewan lelaki dan wanita kami menang emas kejohanan seumpama Sukan Malaysia. Sekarang, pasukan kebangsaan Indonesia dibarisi separuh pemain daripada wilayah itu.

“Saya bukan mahu meninggi diri tetapi rasa hormat yang diberikan keluarga hoki Indonesia kepada saya seperti raja, orang tidak mencari masalah dengan saya di sana,” katanya.

Dharma Raj dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025 pada Mac 2021 selepas 10 bulan memegang jawatan pengarah teknikal hoki Wilayah Jawa Barat.

Prestasi hoki Indonesia menunjukkan peningkatan mendadak sejak kehadiran Dharma Raj dan yang terbaharu beliau membawa pasukan dalam dewan lelaki republik itu mencipta sejarah merangkul emas sulung di Sukan SEA di sini, dengan menewaskan Malaysia di final. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan