POLIS memburu seorang individu yang tular videonya di media sosial selepas gagal memecah tabung di Masjid Kampung Jawa, Bagan Serai pada 9 Mei lalu.
Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kerian, Juna Yusoff berkata, semakan polis mendapati kejadian berlaku lebih kurang pukul 1 petang.
Katanya, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh pihak pengurusan masjid di Balai Polis Bagan Serai.
“Hasil siasatan IPD Kerian mendapati pelaku gagal memecah tabung tersebut dan tiada sebarang kerugian berlaku.
“Namun polis tetap berusaha mengesan pelaku kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, IPD Kerian sebelum ini berjaya menangkap dan menyelesaikan kes-kes pecah tabung masjid yang berlaku di daerah itu dan pelaku sebelum ini telah didakwa dan dijatuhkan hukuman.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-721 2222,” katanya. – Edisi 9

