PRESIDEN Inter Miami, David Beckham masih berharap kelab itu mampu memujuk pemain lagenda, Lionel Messi berhijrah ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan beberapa portal antarabangsa, masih ada harapan buat Messi untuk menukar fikiran menolak tawaran mega kelab Arab Saudi, Al-Hilal dan menerima tawaran Inter Miami.
Ini susulan kenyataan balas bapa Messi mengatakan anaknya masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya biarpun dilaporkan telah bersetuju menerima tawaran kontrak RM2.93 bilion daripada Al-Hilal.
Pakar MLS, Taylor berkata, tawaran yang diberikan Inter Miami masih ‘di atas meja’ sekali gus memberikan harapan kapten Argentina itu turut mempertimbangkan tawaran kelab berkenaan.
“Tawaran #InterMiamiCF masih dipertimbangkan walaupun tidak disebutkan bersama-sama Barcelona dan kelab Arab Saudi,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Difahamkan keluarga Messi lebih cenderung memujuk pemain itu kembali ke Barcelona berbanding menerima tawaran mega lain.
Sementara itu, Beckham dan Inter Miami akan berterusan memujuk bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu ke AS bagi menyambung kariernya.
Ini kerana nilai komersial yang ada pada Messi mampu melonjakkan pendapatan kelab itu khususnya dalam penjualan tiket dan cenderahati Inter Miami. – Edisi 9

