25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

​Kanabis dalam perubatan perlu kajian mendalam – PM

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

Isu berkaitan kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan di negara ini memerlukan penelitian dan perbincangan menyeluruh serta mendalam termasuk daripada aspek kawalan penggunaan bahan berkenaan kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu mengambil kira jumlah penagih dalam kalangan anak muda termasuk di luar bandar yang semakin meningkat sehingga mencecah ratusan ribu setakat ini.

“Sabar, kita harus teliti betul-betul, kena ingat sebaik sahaja kita halalkan (kanabis) dengan hujah kuat seperti perubatan dan keperluan, itu hendak kawal susah… Saya tidak kata saya ada pandangan keras dalam bidang ini, saya sudah cadang supaya kita buka ruang dan bincang betul-betul implikasinya.

“Bagi orang yang mahu cadangkan atau menolak, mari kita lihat secara keseluruhan dulu implikasi dan kemudian ambil keputusan sama ada nak halalkan sebahagian atau terus dengan keadaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. 

Advertisements

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memberi gambaran berkaitan permasalahan serius yang sukar ditangani berhubung isu penyalahgunaan dadah ketika ini.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan. 

Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja ke Thailand pada Ogos lalu turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan selain melihat kerangka undang-undang yang berkaitan dengannya.

Sementara itu, menjawab soalan peserta sama ada terdapat sebarang rancangan untuk memecah monopoli Touch ‘n Go dalam sistem pengangkutan dan jalan raya negara, Anwar berkata, perkara tersebut mungkin dipertimbang semula.

“Touch ‘n Go telah beroperasi selama lebih dua dekad, belum ada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dalam sistem ini… Saya rasa anda betul, kita perlu mempertimbang semula perkara ini,” katanya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan