MALAYSIA dan United Kingdom (UK) telah mengadakan perbincangan isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, semasa perbincangan tersebut juga beliau sempat mengetengahkan isu minyak sawit yang merupakan salah satu eksport penting negara.
Selain itu menurut beliau, isu keselamatan serta kestabilan rantau Indo-Pasifik.
“Sebaik tiba di London, United Kingdom, saya telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat saya dari United Kingdom, Setiausaha Luar Negeri, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, TYT James Cleverly.
“Kami telah membincangkan mengenai usaha meningkatkan hubungan dua hala di samping meneroka ruang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang seperti keselamatan, perdagangan dan pelaburan, teknologi hijau serta ekonomi digital.
“Kami turut sama membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Zambry kini mengetuai delegasi Malaysia untuk menyertai tiga acara penting Komanwel di London, United Kingdom mulai semalam (13 Mac) hingga esok (15 Mac).
Acara itu adalah Sambutan Hari Komanwel, Mesyuarat Kumpulan Tindakan Menteri-menteri Komanwel (CMAG) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Komanwel (CFAMM).
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan sambutan Hari Komanwel yang bertemakan “Forging a Sustainable and Peaceful Common Future” akan dihoskan oleh Raja Britain Raja Charles III buat kali pertama sebagai Ketua Komanwel, manakala majlis santapan diadakan di Istana Buckingham.
-EDISI9

