CUBAAN ejen penghantaran membawa masuk 100 kotak gabus berisi produk haiwan daging babi sejuk beku (suckling pig) dengan mengisytiharkan sebagai pakaian gagal apabila berjaya dihidu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Kargo, Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, kesemua produk haiwan tersebut diimport dari Vietnam itu dianggarkan bernilai RM28,000.
“Hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis mendapati, sebanyak 3,475 kilogram produk haiwan yang dibawa masuk oleh syarikat tempatan itu gagal mengemukakan dokumen permit import yang sah dan sijil kesihatan dari negara asal,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Mohd Sobri berkata, sampel produk daging babi tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persampelan untuk mengenal pasti penyakit African Swine Fever (ASF).
“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan adalah bagi menghalang risiko penularan wabak penyakit ASF ke negara ini dan ia akan menjejaskan industri penternakan babi negara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya. – Edisi 9