DAKWAAN bahawa siasatan terhadap UMNO oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah selesai tidak benar, sebaliknya ia masih diteruskan.
Ahli UMNO Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir Fikri berkata, beliau telah diberitahu oleh ROS bahawa tempoh 60 hari diberikan kepada UMNO bukan tempoh siasatan.
Beliau berkata, sebaliknya tempoh tersebut diberikan oleh ROS agar UMNO menghantar laporan penuh Persidangan Agung Tahunan parti itu (PAU 2022) yang berlangsung baru-baru ini.
“Siasatan bagi laporan ini akan tetap diteruskan sekaligus menafikan kenyataan SUA (Setiausaha Agung) UMNO bahwa isu ini selesai.
“Saya juga dimaklumkan ada Ahli-Ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) yang akan dipanggil bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tersebut dan cara usul itu dibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aizat Fikri merupakan salah seorang ahli UMNO yang membuat aduan kepada ROS berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan parti ketika PAU 2022 lalu.
Seorang lagi ahli UMNO yang bertindak mengadu kepada ROS ialah Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom dari Negeri Sembilan.
Dalam PAU 2022, parti tersebut membuat keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti iaitu presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan UMNO tahun ini.
Aizat Fikri berkata, pihak ROS telah memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan adil dan secepat mungkin menyedari UMNO kini dalam tempoh persidangan.
Ini kerana, menurutnya, sebarang keputusan daripada ROS tersebut boleh memberi kesan terhadap pemilihan parti kali ini.
“Saya harap Presiden dan Timbalan Presiden dapat bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Biarlah ROS menjalankan siasatan dengan adil dan bebas,” katanya.
Aizat Fikri berkata, beliau telah memberi keterangan lanjut kepada ROS hampir 3 jam selama berhubung aduan yang dibuatnya itu.
Katanya, pihak ROS telah memintanya menjelaskan secara terperinci berkenaan laporan tempoh hari dan sedang mengkaji Fasal 8.1 Perlembagaan UMNO.
Dalam fasal tersebut menyebut Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti adalah berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada perlembagaan dan juga peraturan UMNO.
Perlembagaan juga di bawah Fasal 9.3 telah menyatakan Pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan dua puluh lima orang ahli MKT hendaklah dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.
“Isunya, walaupun PAU mempunyai kuasa tertinggi namun ia tidak boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah atau tiada dalam perlembagaan,” katanya.
Sebagai contoh, jelas beliau, jika terdapat usul dibawa dalam PAU untuk UMNO mewujudkan dua jawatan presiden, ia tidak boleh diambil kira kerana perlembagaan UMNO menyatakan hanya satu jawatan Presiden.
Bahkan di dalam urusan kerajaan, Dewan Rakyat juga tidak boleh membuat ketetapan yang bercanggah dengan perlembagaan negara (ultra vires), jika ia berlaku ketetapan itu terbatal secara automatik.
“Ketetapan ini juga tidak dibuat mengikut peraturan persidangan perhimpunan agung apabila gagal memberi notis selama 14 atau 7 hari seperti yang dinyatakan dalam peraturan 10.1 pemberitahuan usul,” katanya.
Kata beliau, mengikut peraturan 20.1 Pindaan Usul, pada masa sesuatu usul itu dalam pertimbangan persidangan atau jawatankuasa bolehlah dicadangkan pindaan-pindaan jika ia berkaitan dengan usul itu.
“Saya telah menjelaskan kepada ROS bahawa usul ucapan dasar presiden dan usul tambahan itu adalah dua perkara berbeza dan tidak berkaitan,” katanya. – Edisi 9

