26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Semua urusan kerajaan dengan negara guna bahasa Melayu – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN mengarahkan semua urusan melibatkan luar negara termasuk surat-menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, setiap surat yang dihantar oleh beliau sendiri kepada para pemimpin dunia juga akan menggunakan bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran.

“Saya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut melalui penggunaan bahasa Melayu.

“Persidangan juga guna bahasa Melayu sewaktu Sidang Kemuncak Khas ASEAN bersama Presiden Amerika (Joe Biden), saya juga menggunakan bahasa Melayu.

“Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden AS walaupun saya berbahasa Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN.

Beliau berkata, bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

Jelas beliau, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1).

“Oleh itu, langkah memartabatkan bahasa Melayu adalah juga usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.

“Banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.

Advertisements

“Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara,” katanya.

Ujar beliau lagi, memartabat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang-pejuang bahasa.

“Sehubungan dengan itu, seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ini adalah antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negara Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

“Saya ingin menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

“Perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

“Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma, daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu kepada peranannya yang sewajarnya.

“Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan.

“Ia perlu bagi mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan