34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

4 lelaki dicekup punggah rokok seludup RM1.1 juta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN empat lelaki memunggah guni berisi rokok seludup bernilai RM1.1 juta dari dalam sebuah lori di tepi jalan di Bandar Rinching, Semenyih di sini, semalam hanya memakan diri apabila diberkas polis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota dari Batalion 4 PGA kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, empat lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga asing telah ditahan berserta rampasan 6,200 karton rokok bernilai RM1.1 juta termasuk nilai cukai.

“Semasa serbuan, suspek terbabit dikesan sedang memunggah rokok terbabit dari dalam lori ke dalam dua buah kereta.

“Dipercayai rokok itu diambil di Klang menggunakan lori terbabit sebelum diedarkan di sekitar Semenyih dan Kajang,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu telah aktif sejak setahun.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 34 hingga 47 tahun yang berperanan sebagai pemandu, kelindan serta penerima telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan