Friday, June 5, 2026

Usah tergesa-gesa laksana PRU-15, utamakan pemulihan negara

Mesti Baca

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu diadakan secara tergesa-gesa, sebaliknya kerajaan perlu mengutamakan pengurusan pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi rakyat dan negara terlebih dahulu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, biarpun momentum Barisan Nasional (BN) kini memuncak berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, namun gabungan itu perlu berbincang terlebih dahulu demi kepentingan rakyat.

“Apabila kita sudah mendapat satu pandangan yang tepat dan kita rasa pada waktu itu perlu untuk mengadakan PRU15, kita buatlah dan saya rasa kita masih ada waktu untuk berbincang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

Mahdzir berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan rakyat yang akan keluar mengundi pada PRU-15.

“Yang pertama, kita perlu mengambil kira masyarakat di luar sana, bukan parti, sebab mereka yang akan keluar mengundi. Mereka melihat kerajaan ini serius untuk melandaikan lagi kes Covid-19… rakyat hendak tengok kes menurun, jadi biarlah nampak (kes menurun).

“Keduanya, pemulihan ekonomi perlu dilakukan segera kerana pengusaha kecil, pengilang, pekerja dan golongan profesional yang terjejas dengan pandemik mahu memulakan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU15 ialah selepas pandemik Covid-19 reda dan ekonomi semakin pulih. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan