33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ismail Sabri TPM, Hishammuddin Menteri Kanan

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan bagaimanapun berkata, Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO itu kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

“Pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Dengan pelantikan tersebut, Ismail Sabri merupakan Timbalan Perdana Menteri pertama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri. Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” kata kenyataan itu.

Advertisements

Menurut Pejabat Perdana Menteri, kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti- parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Hishammuddin menerusi Facebooknya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada beliau selaku Menteri Kanan Luar Negeri.

“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya.

“Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama.

“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama – hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MB Perlis ditahan SPRM bantu siasatan salah guna kuasa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan dakwan salah guna...

Lagi Artikel Berkaitan