26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

KDN siasat ketulenan rakaman mirip suara 2 pemimpin

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular sejak kelmarin.

Memetik laporan BH Online, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan itu akan menjurus bagi menentukan ketulenan rakaman audio dan butiran perbualan kedua-dua pemimpin terbabit.

“Sudah tentu kita (KDN) akan siasat semua laporan diberikan. Pertama siasat mengenai ketulenan, apakah ada perbualan itu? Kalau tiada, bermakna cerita dibuat itu adalah fitnah.

“Kalau ceritanya betul, saya dengar juga (audio), ceritanya Ahmad Zahid mengaku Anwar sebagai cikgu. Cerita yang betul, kalau itu betul. Salah ke Anwar jadi cikgu kepada Ahmad Zahid? Yang dua-dua hendak marah ini kenapa? Saya pun hairan.

“Jadi ada dua perkara di sini pertama, perbualan dan adakah ia tulen, kedua apa yang ada dalam perbualan itu. Betul atau tidak?” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dan Anwar menafikan bahawa mereka merupakan individu-individu yang berbual dalam rakaman tersebut.

Advertisements

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mempersoalkan tindakan Anwar mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, mendakwa beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Jadi apahal (Anwar) hendak kena hantar surat kepada Agong? Sudah tidak ada (dakwaan). Maknanya Anwar kata dulu dia ada ‘formidable numbers’ (jumlah yang cukup), tidak benar.

“Salah ke kalau UMNO mahu bekerjasama dengan PKR? Kalau salah terpulang kepada mereka. Jadi kalau mereka kata tiada, tidak pernah bincang, maknanya tidak benar UMNO hendak bersubahat dengan PKR.

“Tiada pun kerjasama. Apakah kerjasama itu berlaku atau tidak. Dia (Anwar) jawablah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah mengakui tidak gentar dengan ancaman Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mahu mengemukakan saman kepada KDN dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) susulan kegagalan mendaftarkan parti itu.

“Ia (ancaman MUDA) tidak jadi hal, saya guna undang-undang (ketika menolak pendaftaran MUDA),” katanya.

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan