24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Lebih baik DAP jaga kandang babi Pulau Pinang

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan, adalah lebih baik DAP menjaga kandang-kandang babi di Pulau Pinang sebelum mereka bercakap persoalan yang lebih besar seperti perubahan iklim dan pemanasan global.

Beliau menyarankan DAP khususnya Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng untuk menyelesaikan dahulu isu pencemaran sumber air bersih dari sungai-sungai di Pulau Pinang.

Mohd Zuhdi berkata, antara isu yang perlu ditangani Guan Eng termasuk pencemaran yang disebabkan oleh kumbahan najis babi di Sungai Kereh, Kepala Batas, yang tidak nampak boleh selesai sehingga sekarang.

“Tidak perlu beliau bercakap berdegar-degar tentang perubahan iklim dan pemanasan global sedangkan isu setempat di negeri yang DAP perintah, yang mudah untuk mereka selesaikan inipun, mereka tidak boleh menanganinya.

“Semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan Yeo Bee Yin menjaga kementerian yang berkaitan dengan alam sekitar, apa yang mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah pencemaran kumbahan najis babi ini?

“Sedangkan rakyat di kawasan itu khususnya pesawah-pesawah padi dan nelayan-nelayan sudah begitu lama menderita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu menambah, pencemaran turut berlaku di sungai-sungai lain di negeri tersebut seperti Sungai Juru, Sungai Perai dan Sungai Pinang yang merupakan antara sungai paling tercemar di Malaysia.

Advertisements

Beliau memberitahu, kawasan-kawasan tanah tinggi di Pulau Pinang pula telah banyak digondolkan sehingga menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat yang kerap di pulau tersebut.

“Masyarakat awam tidak boleh lupa bagaimana Guan Eng menangis menelefon Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, memohon bantuan menangani masalah banjir.

“Adakah DAP tidak sedar bahawa penggondolan seperti ini juga menyumbang kepada perubahan iklim dan pemanasan global?” sindirnya.

Mohd Zuhdi berkata, Guan Eng dalam kenyataan sebelum ini telah cuba mengaitkan kemasukan sisa plastik (bersih) dari Amerika Syarikat (AS) yang diizinkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), sebagai menunjukkan kementerian itu tidak peka dalam menangani isu import plastik dan industri kitar semula plastik.

Beliau mencabar DAP untuk mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan supaya ditutup semua industri yang berkaitan kitar semula plastik di negara ini, justeru dengan sendirinya tiada lagi kegiatan import plastik berlaku.

“Saya yakin, sebagaimana DAP begitu takut mendesak ditutup kandang-kandang babi di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, mereka juga tidak akan berani mengusulkan ditutup kilang-kilang industri kitar semula plastik yang kebanyakkannya dimiliki oleh ‘tauke-tauke’.

“Malah mereka telah gagal ketika diberi tempoh selama 22 bulan untuk bertindak terhadap kegiatan-kegiatan yang mencemarkan alam sekitar seumpama ini,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan