28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

DAP sudah buat pemilihan parti, UMNO pun boleh

Mesti Baca

PERMATANG PAUH – Tiada alasan bagi UMNO untuk tidak mengadakan pemilihan parti pada Mei ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, parti-parti lain termasuk DAP telah mengadakan pemilihan.

Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu, atas semangat demokrasi, pemilihan parti harus diadakan pada Mei kerana tempoh untuk semua yang memegang jawatan akan berakhir pada tarikh itu.

“Dengan mengadakan pilihan raya, akan menunjukkan bahawa kita telah memenuhi kata-kata kita. Marilah kita menjadi pihak yang mematuhi sistem yang kita sendiri buat.

“Walaupun ada peruntukan untuk menunda pemilihan, tetapi semangat dalam perlembagaan parti supaya pemilihan diadakan setiap tiga tahun sekali harus diikuti, tanpa penundaan.

“Sekiranya DAP dan parti-parti lain dapat melakukannya tanpa berlengah, maka UMNO tidak mempunyai alasan untuk tidak melakukannya, sebagai sebuha parti matang yang telah wujud sejak sekian lama,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sekali lagi menggesa Majlis Tertinggi UMNO supaya menyegerakan pemilihan parti dan tidak perlu menunggu sehingga akhir tahun.

Beliau berkata, sekiranya pemilihan parti diadakan lebih cepat, ia lebih baik untuk parti itu.

“Bagi saya lagi cepat (pemilihan UMNO) lagi bagus, tidak perlu tunggu sampai hujung tahun,” jelasnya.

Selain itu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pernah membayangkan pemilihan UMNO dijangka diadakan pada Jun ini.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pemilihan UMNO dijangka diadakan pada hujung tahun ini, namun tarikh sebenar pemilihan bergantung kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mohamad dilaporkan berkata, dalam perlembagaan parti, mereka mempunyai tempoh sehingga 18 bulan untuk menangguhkan pemilihan, bermula dari tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada 28 Mac lalu.

Namun, katanya, UMNO tidak akan menunggu sehingga 18 bulan memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pemilihan akan diadakan pada tahun ini.

Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020, namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat pandemik COVID-19. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan