Thursday, June 25, 2026

Puad tinggalkan UMNO, dakwa parti sekadar ‘boneka’ istana

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertindak meninggalkan parti itu berkuat kuasa hari ini susulan tidak berpuas hati dengan UMNO negeri itu yang didakwa tidak lagi bebas kerana campur tangan pihak istana dalam membuat keputusan.

Mohd Puad yang juga bekas ADUN Rengit dan Speaker DUN Johor mendakwa, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi hanyalah Pak Turut manakala UMNO negeri sekadar boneka yang terikat.

“Satu bukti jelas ialah Onn Hafiz sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026 (Ahad). 

“Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026.

“Banyak lagi contoh contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Semalam, Mohd Puad akan membuat “pengumuman penting” pada Sabtu ini, serentak dengan hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun dipercepatkan pada hari ini.

Beliau berkata, tindakan yang memerlukan keberanian politik itu dibuat bagi memudahkan beliau mendedahkan kemungkaran tersebut sebelum menjadi parah. 

Mohd Puad berkata, beliau sedar dirinya akan dikecam dan dihina dan kemungkinan keselamatannya juga bakal terancam.

“Tetapi berbekalkan keberanian politik, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan. 

“Saya tidak mahu UMNO dipimpin oleh pengecut politik sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan mediocre,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu juga membolehkan UMNO tidak bersusah payah memecat keahliannya selain memudahkannya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti daripada belakang. 

“Kini saya bebas mengkritik UMNO satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Pendedahan dibuat Mohd Puad bakal membawa kesan kepada UMNO Johor menjelang PRN Negeri yang bakal dilangsungkan 11 Julai depan.

Onn Hafiz pada 1 Jun lalu mengejutkan negara apabila membubarkan DUN Johor ketika tempoh pentadbiran berbaki setahun lagi. — Edisi 9

Terkini

Puad ugut tinggalkan UMNO jika anak tak jadi calon – Asyraf

TINDAKAN Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti itu kerana kecewa apabila anaknya tidak dicalonkan...

Lagi Artikel Berkaitan