UMNO Negeri Sembilan menegaskan pendiriannya bahawa krisis yang berlaku di negeri itu berpunca daripada konflik antara institusi adat, khususnya melibatkan Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UMNO sentiasa menghormati garis pemisah antara pentadbiran kerajaan dan institusi adat, namun kecewa dengan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang didakwa mencampuri urusan tersebut.
Menurut beliau, kegagalan Aminuddin mengurus krisis dengan baik serta mengambil ringan perkara berkenaan telah memburukkan keadaan sehingga membawa kepada tindakan pemecatan terhadap Tuanku Muhriz.
“Prinsip UMNO cukup-cukup jelas. UMNO hormat dan cukup memahami garis pemisah di antara badan eksekutif dan juga institusi adat.
“Sebab itu UMNO marah apabila Menteri Besar mencampuri urusan adat, gagal menangani krisis dengan baik, dan mengambil mudah perkara yang berlaku sehingga menyebabkan pemecatan Tuanku berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Isnin lalu, Jalaluddin bersama 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Jalaluddin turut menggariskan kronologi krisis yang memuncak pada April lalu, bermula dengan kenyataan Menteri Besar berhubung pemberhentian Undang Sungai Ujong pada 17 April, diikuti sidang media Undang Yang Empat pada 19 April yang mengumumkan pemecatan Yang di-Pertuan Besar.
Situasi menjadi lebih tegang apabila pada 20 April, wujud percanggahan kenyataan dalam kalangan Undang serta penegasan bahawa Menteri Besar tidak layak menerajui kerajaan negeri.
Pada masa sama, kerajaan negeri menolak tindakan tersebut dan enggan mengiktirafnya.
Tambah beliau, kemuncak krisis menyaksikan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin bertindak memboikot pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri pada 22 April, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keabsahan sidang berkenaan.
“Ketidakhadiran institusi adat ini mencemarkan imej negeri dan memalukan DYMM Tuanku. Sebab itu UMNO mengambil pendirian meminta sidang ditangguhkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa UMNO bukan berniat untuk menjatuhkan kerajaan negeri secara ‘tebuk atap’, sebaliknya tindakan parti dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar dalam mengurus krisis tersebut.
“Jika UMNO mahu tebuk atap, UMNO telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan ADUN di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.
“Kalau UMNO mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN (Pilihan Raya Negeri 2022) tapi UMNO memilih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Negeri Sembilan bersedia menjadi pembangkang daripada terus berada dalam kerajaan yang didakwa gagal mempertahankan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Mengulas hala tuju parti, beliau berkata UMNO kini memberi tumpuan kepada pengukuhan akar umbi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Matlamat utama kita adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi dan mengembalikan dominasi UMNO. Kepimpinan pusat juga perlu mendengar suara akar umbi dalam menentukan kerjasama politik akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masa depan parti tidak boleh digadaikan hanya untuk menjaga kepentingan mana-mana pihak.
“Saya mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan akan terus memimpin UMNO Negeri Sembilan selagi diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti,” katanya. — Edisi9

