Oleh AZIZI MAJID
PARTI lawan khususnya Pas bimbang apabila begitu ramai anak muda mendaftar diri sebagai ahli UMNO apabila pendaftaran keahlian dibuka secara dalam talian sejak Isnin lepas.
Dalam tempoh beberapa hari, jumlah anak muda yang menyertai UMNO sudah melebih 5,000 — satu peningkatan drastik ketika persepsi parti yang mentadbir negara selama 60 tahun selama ini berada di titik paling rendah.
Bayangkan, selama ini banyak yang menilai anak muda sudah menolak UMNO kerana bersama DAP menguruskan negara, isu dakwaan 47 kes membabitkan Presidennya, serta pelbagai momokan lagi.
Nyata, dalam diam anak-anak muda masih begitu yakin dengan keupayaan UMNO sehingga dalam tempoh singkat jumlah yang mendaftar sebagai Pemuda dan Puteri UMNO amat mengejutkan.
Tidak hairan, kini para pejuang siber Pas terutamanya semakin rancak menyerang media-media sosial pro-UMNO. Namun modal yang dibawa hanya berkisar isu UMDAP, 47 kes membabitkan Zahid yang sudah digugurkan serta isu No Anwar, No DAP! yang dilaung ketika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang semakin basi.
Modal lain? Tiada!
Atas sebab itulah anak-anak muda semakin yakin dengan kewibawaan UMNO mentadbir negara, apatah lagi melihat prestasi menteri-menterinya di bawah Kerajaan Madani yang begitu cemerlang.
Usah sebut apa yang sudah dilaksanakan oleh Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri. Dari memperjuangkan nasib pekerja gig menerusi penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig sehinggalah isu TVET dan Tadika Tahfiz KEMAS.
Bahkan, prestasi pemimpin UMNO yang mengetuai agensi kerajaan turut memberi keyakinan kepada anak muda terhadap parti ini.
Lihatlah bagaimana Asyraf Wajdi menjaga MARA dan MRSM sehinggalah digelar ‘Daddy MARA’. Bahkan, keperibadian yang ditunjukkan beliau juga menjadikannya idola anak-anak muda hari ini.
Benar, UMNO tidak perlu menjaja agama, menawarkan tiket ke syurga dan menyerang pihak lawan dengan maki-hamun dan kata nista yang tidak kenal batas dosa dan pahala.
Sebaliknya UMNO secara diam membina semula persepsi dengan membina kekuatan diri dan memanfaatkan peluang dan ruang yang diberi dengan menunjukkan keupayaan mereka yang sebenar biarpun jumlah mereka di Parlimen hanya 26 kerusi.
Benar kata seorang penganalisis politik bahawa UMNO bijak mengambil kesempatan. Ya, kesempatan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani atas titah perintah Yang di-Pertuan Agong dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan bahawa keputusan rakyat menolak kerajaan BN sebelum ini adalah silap!
Dan untuk memperbetulkan pandangan rakyat tersebut, mereka memperbaiki diri dan memperkasa semula parti, tanpa perlu memijak parti lawan apatah lagi sesama dalam kerajaan.
Namun, segala hasil yang dilakukan kini dilihat dan dinilai oleh rakyat yang kini semakin tidak sabar menunggu pembubaran Parlimen.
Berbondong-bondong anak muda mendaftar sebagai ahli UMNO adalah manifestasi kejayaan UMNO membina semula persepsi yang telah diruntuhkan oleh fitnah dan hasutan.
Tahniah UMNO!
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9. - Editor

