AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dari DAP, Wong Siew Ki diingatkan agar tidak menjadikan rakyat sebagai alat politik bermusim.
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar berkata, dakwaan ADUN itu bahawa beliau hanya membawa suara rakyat tentang ladang ternakan babi di Selangor jelas cubaan untuk menjadikan rakyat sebagai perisai diri daripada kecaman.
Ahli Dewan Negara itu berkata, beliau hampir setiap hari dan setiap minggu turun padang bertemu rakyat di pelbagai kawasan di Selangor serta seluruh negara.
“Terus terang saya katakan, setakat ini saya belum pernah mendengar rakyat menjadikan pembukaan semula ladang penternakan babi sebagai keutamaan mereka.
“Rakyat yang saya temui bercakap tentang harga barang, kos sara hidup, peluang pekerjaan, banjir, jalan rosak dan masa depan anak-anak mereka.
“Justeru apabila ADUN Seri Kembangan mendakwa beliau hanya membawa suara rakyat, rakyat yang mana dimaksudkan?
“Adakah majoriti rakyat Selangor? Atau hanya sebilangan kecil kelompok tertentu?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siew Ki sebelum itu menegaskan kenyataannya yang mencadangkan penternakan babi secara moden dibenarkan di Selangor adalah berdasarkan suara sebahagian rakyat di kawasan tersebut.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat yang dipilih, menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa dan menyuarakan isu berkaitan ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Cadangan beliau agar penternakan babi dibenarkan semula di Selangor kembali mencetus perhatian apabila dilihat bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
Menurut Siew Ki, penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain yang juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama.
Rosni menegaskan, wakil rakyat perlu jujur dalam membawa mandat rakyat dan jangan apabila sesuatu cadangan menerima kecaman, nama rakyat terus dijadikan perisai untuk menutup kelemahan sendiri.
“Rakyat bukan alat politik bermusim. Jika benar mahu membawa suara rakyat, bawalah isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
“Selangor perlukan penyelesaian. Bukan polemik yang tidak menyelesaikan apa-apa,” katanya. — Edisi 9

