Sunday, June 14, 2026

Wanita PKR Pandan gesa dedah siasatan rasuah dikaitkan Rafizi

Dakwaan bahawa bayaran dibuat melalui syarikat GFIS (M) Sdn Bhd berhubung projek mesin layan diri bernilai RM21.1 juta di bawah Program IPR itu amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Mesti Baca

WANITA PKR Cabang Pandan mendesak pihak berkuasa mendedahkan segera siasatan rasuah yang didakwa turut dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketuanya, Roasiah Ramli berkata, ini kerana tuduhan yang dibuat sebuah portal mendakwa orang tengah kepada bekas Menteri Ekonomi itu telah menerima suapan sebanyak RM500,000 daripada Datasonic Group Bhd atau kini dikenali sebagai NexG Bhd.

Beliau berkata, dakwaan bahawa bayaran itu dibuat melalui syarikat GFIS (M) Sdn Bhd berhubung projek mesin layan diri bernilai RM21.1 juta di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) itu amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Persoalan yang masih belum dijawab: apakah status siasatan polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap dakwaan ini?

“Lebih membimbangkan, Rafizi sendiri mengakui wujudnya pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) pada Disember lalu, di mana beliau diberitahu akan ada implikasi sekiranya skandal ini terbongkar. 

“Jika benar tiada apa yang perlu disembunyikan, mengapa perlu ada “amaran” dari dalam kerajaan sendiri?,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Pada 7 Apri lalu, Rafizi menafikan beliau menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd., Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat tersebut pada 2023.

Menurut Rafizi, dakwaan yang dibuat sebuah blog tidak terkenal itu hanyalah tuduhan liar yang mana garis masa yang dinyatakan adalah tidak selari dengan realiti semasa pada ketika itu.

Jelasnya, beliau tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidupnya selain tidak kenal ‘watak utama’ pencitraan di dalam blog berkenaan iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn. Bhd.

Roasiah berkata, sebagai pegundi Parlimen Pandan, mereka juga menuntut penjelasan daripada Saifuddin yang didakwa telah membuat kenyataan bahawa Rafizi mempunyai kaitan dengan skandal rasuah tersebut.

“Jika benar wujud kenyataan atau maklumat sedemikian, ia tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penjelasan rasmi. Rakyat berhak tahu kebenaran, bukan separuh cerita,” tegasnya.

Beliau turut menimbulkan persoalan berhubung cukai yang telah dibayar Rafizi itu selepas Ketua PKR Cabang Pandang itu mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM18,851,350.

“Maka soalnya, berapakah jumlah cukai yang telah dibayar ke atas kekayaan tersebut? Seorang yang sering mengangkat naratif ketelusan tidak boleh memilih untuk berdiam diri apabila dirinya sendiri dipersoalkan,” katanya.

Lebih mengecewakan, kata Roasiah, ketika rakyat dihimpit kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang semakin menekan, Rafizi dengan mudah menghasut rakyat turun ke jalan raya seolah-olah beliau tidak terkesan langsung dengan realiti yang dihadapi oleh rakyat biasa. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan