
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Prinsip Kecukupan Dalam Islam.”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Dunia hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan. Konflik dan peperangan di Timur Tengah dan Asia Barat bukan sahaja meragut nyawa dan memusnahkan harta benda, bahkan turut menjejaskan kestabilan ekonomi dunia.
Pergolakan ini akhirnya memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga, perdagangan antarabangsa serta hubungan ekonomi antara negara.
Malaysia juga tidak terkecuali apabila berdepan kenaikan kos pengeluaran dan gangguan bekalan akibat sekatan mahupun perubahan dasar dalam perdagangan global.
Walaupun kesan yang dialami oleh negara kita masih lagi terkawal, namun umat Islam tidak boleh alpa.
Kita mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, sama ada kesan secara langsung mahupun tidak langsung daripada peperangan tersebut.
Justeru, prinsip qana‘ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang dikurniakan, mesti difahami sebaiknya dan diamalkan dalam kehidupan agar kita tidak dikuasai oleh keinginan yang tidak berkesudahan.
Kini, sebahagian negara pengeluar mula mengehadkan bekalan bagi memenuhi keperluan domestik.
Dalam masa yang sama, gangguan akibat peperangan serta permintaan berterusan terhadap komoditi utama seperti minyak dan gas telah menyebabkan harga meningkat dan memberi kesan kepada rantaian ekonomi global.
Kesan ini akhirnya dirasai oleh masyarakat apabila harga barangan terus meningkat, sedangkan kuasa beli semakin merosot.
Jika keadaan ini berterusan tanpa diimbangi dengan prinsip qana‘ah, mungkin akan ada yang berdepan tekanan hidup akibat kuasa beli yang berkurang, ditambah dengan pembaziran dan beban kewangan yang semakin menekan.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Saidina Ali Radiallahuanhu pernah menjelaskan hakikat ketakwaan melalui kata-katanya yang masyhur, iaitu:

“Takut kepada Allah SWT Yang Maha Agung, beramal dengan petunjuk wahyu, berasa cukup dengan yang sedikit dan bersedia untuk menghadapi hari perpisahan (kematian).”
Antara ciri ketakwaan di sini ialah iaitu merasa cukup dengan yang sedikit. Sesungguhnya, orang yang merasa cukup akan القناعة بالقليل sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Sebaliknya, mereka yang menurut hawa nafsu tidak akan pernah puas walaupun memiliki harta yang banyak. Kita perlu sedar bahawa Islam menekankan prinsip qana‘ah ini dalam semua keadaan.
Orang yang mengamalkan qana‘ah adalah mereka yang hidupnya seimbang, dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan mencari rezeki secara halal tanpa terjerumus kepada salah laku.
Sebaliknya, manusia yang lalai daripada prinsip ini akan terus mengejar kehendak yang tidak berkesudahan.
Akibatnya, wujud perbelanjaan yang berlebihan, komitmen yang tidak perlu, gaya hidup mewah yang membazir, malah ada yang sanggup menyeleweng, melakukan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata untuk memenuhi hawa nafsu.
Demikian juga dalam suasana perayaan Eidulfitri, prinsip qana‘ah perlu terus diterapkan dan diamalkan sebagai tanda kejayaan tarbiah Ramadan.
Ya, sudah menjadi adat kita disajikan dengan pelbagai juadah dan majlis rumah terbuka yang meriah.
Namun, di sinilah perlunya kawalan agar segala nikmat ini diurus dengan sederhana dan berhemah, tanpa berlebih-lebihan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 31:

“Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Dalam Islam, soal keperluan hidup telah lama dijelaskan mengikut keutamaan.
Ada dharuriyyat, iaitu keperluan asas yang mesti dipenuhi; hajiyyat, iaitu perkara yang menyempurnakan hidup manusia, dan tahsiniyyat, iaitu perkara yang sekadar memperelok kehidupan.
Namun, apabila kita lihat gaya hidup hari ini, timbul persoalan sebenarnya berapa banyak perbelanjaan kita untuk keperluan, dan berapa banyak sekadar memenuhi kehendak dan keselesaan semata-mata?
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhuma bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

“Jikalau seseorang anak Adam mempunyai dua lembah harta, nescaya dia akan menginginkan lembah ketiga dan tidak akan diisi perut anak Adam kecuali tanah (setelah kematiannya). Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengingatkan kita bahawa manusia secara semula jadi sukar merasa puas jika menurut kehendak nafsu.
Oleh itu, Islam mengajar kita mengambil dunia sekadarnya sebagai bekalan menuju akhirat, bukannya menurut hawa nafsu yang tidak pernah puas.
Dalam pada itu, Islam tidak menghalang umatnya untuk berusaha menjadi kaya, menguasai ekonomi dan terus maju, selagi segala usaha dilakukan secara halal dan tidak membawa kepada pembaziran atau sikap tamak yang menghilangkan keberkatan rezeki Allah SWT.
Sidang Jumaat yang diraikan,
Selari dengan prinsip qana’ah, Islam tidak pernah mengajar umatnya hidup tanpa perancangan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri memberikan teladan dalam mengurus kehidupan keluarganya.
Hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar Radiallahuanhu, beliau mengatakan:
“Nabi SAW menjual kebun kurma Bani An-Nadhir dan menyimpan bekalan makanan untuk keluarganya bagi setahun.” (Riwayat al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sendiri menyimpan bekalan makanan untuk keluarganya bagi tempoh setahun.
Perbuatan ini bukan tanda kurangnya tawakkal, sebaliknya Baginda SAW mengajar kita berikhtiar membuat perancangan masa hadapan dan persediaan ketika senang sebelum datangnya waktu-waktu sukar.
Dalam keadaan dunia yang tidak menentu hari ini, prinsip qana’ah menjadi lebih relevan.
Ia menjadi asas kepada sikap berjimat cermat khususnya dalam menguruskan harta dan perbelanjaan dengan bijak di samping menyimpan untuk keperluan masa hadapan dan membuat perancangan sewajarnya.
Dengan cara ini, kita tidak hanya melindungi diri dan keluarga daripada kesan ketidaktentuan ekonomi dunia, tetapi juga menunaikan amanah sebagai hamba Allah SWT dalam menguruskan rezekikurniaan-Nya.
Saudaraku sidang Jumaat yang dihormati,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian:
1. Umat Islam hendaklah menghayati dan mengamalkan prinsip qana’ah, iaitu merasa cukup dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan di samping berusaha mengurus harta secara bijaksana, membezakan antara keperluan dan kehendak serta mengamalkan sikap berjimat cermat sebagai ikhtiar menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan cabaran kehidupan semasa.
2. Umat Islam hendaklah menyusun perbelanjaan dan simpanan dengan bijak sebagai persediaan menghadapi waktu sukar, serta tidak terpengaruh dengan gaya hidup orang lain.
3. Umat Islam hendaklah menjauhi pembaziran yang ditegah oleh syarak agar harta yang dikurniakan dapat dimanfaatkan secara berhemah dan membawa kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

“Dan orang-orang yang apabila mereka berbelanja, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil (kedekut), dan adalah perbelanjaan mereka itu sederhana di antara kedua-duanya.” (Surah al-Furqan: 67).

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 27 Mac 2026 bersamaan 7 Syawal 1447.

