SEBANYAK 5,590 permohonan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bernilai RM35 juta telah diluluskan sejak skim tersebut dilancarkan pada 5 Februari lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, jumlah tersebut adalah di antara 6,044 permohonan bernilai RM52 juta yang diterima sehingga semalam.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan pemangkin modal pusingan bagi membantu usahawan membiayai kos operasi dan permintaan tinggi pada musim perayaan.
“Sambutan terhadap skim ini amat menggalakkan apabila para usahawan khususnya dari kalangan perusahaan mikro menunjukkan minat yang tinggi terhadap skim ini sejak ia dilancarkan pada 5 Februari lalu.
“Inisiatif ini ternyata telah membantu ramai usahawan mikro untuk mendapatkan pembiayaan segera bagi menampung permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven berkata, inisiatif tersebut mencerminkan tekad kerajaan untuk mempermudah birokrasi dan mempercepat akses modal kepada
usahawan.
Katanya, ia selaras dengan Strategi A.B.C.D KUSKOP yang memberikan tumpuan kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses kepada Pasaran.
“KUSKOP komited untuk terus menambah baik mekanisme penyampaian skim pembiayaan sedia ada bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh,”katanya. – Edisi 9

