AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan konon beliau terlibat dalam penganugerahan projek solar terbesar 750 Megawat (MW) kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan dirinya.
Bekas Menteri Ekonomi itu menyifatkan tuduhan dibuat oleh pempengaruh Ariz Ramli atau Caprice sebagai fitnah dengan memberi gambaran seolah-olah beliau terlibat dengan rasuah berjumlah RM2.5 bilion.
Beliau berkata, kes itu telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada sebarang bukti atau rampas ratusan juta ringgit atau jongkong emas dibuat.
“Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya. Malah, satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita.
“Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah. Saya dituduh terbabit kononnya di dalam skandal yang nilainya melebihi nilai yang diambil Datuk Seri Najib,” lapor Utusan Melayu Plus yang memetik rakaman video yang disiar menerusi Facebooknya.
Rafizi berkata, fakta-fakta beliau kongsikan menerusi media sosial sebelum ini jelas menunjukkan bahawa beliau atau Kementerian Ekonomi tidak mempunyai kuasa atau terbabit dalam apa-apa urusan komersial syarikat swasta.
Sehubungan itu, beliau memberi peluang kepada Caprice untuk memperbetulkan tuduhan yang dibuat sebelum ini dalam kandungan-kandungan yang dibuat pempengaruh itu dan seterusnya memohon maaf kepadanya.
“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian setelah diberi peluang, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan saman terhadap beliau,” katanya.

