Monday, July 20, 2026

Khutbah Jumaat: Ramadan membina peribadi mukmin sejati

Jangan biarkan Ramadan berlalu tanpa kesan. Sesungguhnya tiada jaminan untuk kita bertemu Ramadan akan datang.

Mesti Baca

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan-Nya. 

Khatib berpesan kepada jemaah sekalian agar memberikan sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan dan jauhilah perbuatan sia-sia sepanjang khutbah disampaikan. 

Marilah kita bersama-sama menghayati khutbah yang bertajuk, “Ramadan Membina Peribadi Mukmin Sejati.”

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Kita kini berada dalam bulan yang sangat mulia, iaitu bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan rahmat, keampunan dan keberkatan.

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi bulan pendidikan rohani yang membina peribadi mukmin sejati.

Firman Allah SWT, surah al-Baqarah, ayat 183:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan utama puasa ialah untuk melahirkan insan yang bertakwa, bukan sekadar berlapar di siang hari. 

Tetapi mampu melahirkan manusia yang bersungguh-sungguh ketika berpuasa sehingga ke tahap khususul khusus sepertimana yang diungkapkan oleh Imam Al-Ghazali yang akan melahirkan benih takwa dan kasih sayang kepada sesama manusia dan juga berupaya mengendalikan sifat rakus, tamak serta jauh dari sifat kehaiwanan.

Benarlah kata-kata Amirul Mukminin, Saidina Ali ketika membicarakan maksud takwa iaitu takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, reda dengan yang sedikit, dan sentiasa mempersiapkan bekalan menuju hari kematian.

Hadirin Jumaat yang dikasihi sekelian,

Ramadan adalah bulan mujahadah dan penggandaan amalan. Setiap amal soleh diganjari dengan pahala yang berlipat ganda.

Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa, serta bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melakukan ibadah.

Namun, sidang jemaah sekalian, puasa yang diterima oleh Allah SWT bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum, malahan menjaga solat, lisan dan perbuatan.

Imam Ahmad radiallahuanhu meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun hanya beroleh lapar dan dahaga. Berapa ramai juga orang yang qiamullail, namun hanya beroleh berjaga malam sahaja.”

Hadis ini menjadi peringatan agar kita menjaga kualiti puasa dengan meninggalkan maksiat dan dosa. 

Alangkah ruginya andai segala amalan yang ditempuhi tidak dipedulikan Allah SWT.

Para tetamu Allah yang dirahmati Allah,

Sebagai sebuah madrasah, Ramadan merupakan medan pembentukan disiplin dan kekuatan iman. 

Puasa melatih kita mengawal hawa nafsu, sabar dan berdisiplin, termasuk dalam penggunaan media sosial dan hiburan. 

Selain itu, menguatkan lagi rasa prihatin kita sesama muslim dengan meningkatkan infaq dan menjamu orang berbuka puasa.

Sebagaimana contoh Baginda SAW yang dirakamkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas radiyallahuanhuma:

Maksudnya: “Nabi SAW manusia yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Malaikat Jibril bertemu dengannya. Jibril bertemu dengan Nabi SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji Al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”

Marilah kita menjadikan Ramadan ini sebagai titik perubahan dalam kehidupan kita. 

Jangan biarkan Ramadan berlalu tanpa kesan. Sesungguhnya tiada jaminan untuk kita bertemu Ramadan akan datang.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini melahirkan peribadi mukmin sejati yang bertakwa, berakhlak mulia dan istiqamah dalam ketaatan.

Marilah kita berdoa agar Allah SWT menerima segala amalan kita, mengampuni dosa-dosa kita dan mengurniakan kepada kita kekuatan untuk terus beramal selepas Ramadan.


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 20 Februari 2026.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan