KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh membidas tindakan pihak berkuasa yang menahan peserta perhimpunan Gerakan Antirumah Anutan Haram (GARAH) kerana dianggap melanggar hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dijamin Perlembagaan.
Beliau berkata, sebagaimana pihak pembangkang sebelum ini yang menuntut hak rakyat untuk berhimpun, sepatutnya hak itu perlu dipertahankan juga ketika mereka menerajui negara hari ini.
“Sepatutnya hak itu perlu dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini, dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada pada kamu.
“Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah,bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan,” katanya hari ini.
Beliau mengulas penahanan penganjur perhimpunan GARAH, Zamri Vinoth dan beberapa individu lain kerana berhimpun di hadapan Sogo, ibu negara malam semalam.

Penahanan Zamri disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Dr Akmal menegaskan, rakyat negara ini mempunyai hak untuk berhimpun secara aman sepertimana dijamin di bawah Perlembagaan negara.
“Kami difahamkan beberapa orang rakyat Malaysia telah ditahan malam semalam semasa berlangsungnya himpunan aman di hadapan Sogo.
“Dan mereka ini akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan
“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Malaysia ingin menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma bagi mereka yang akan didakwa atas himpunan ini,” katanya. — Edisi 9

