Sunday, July 19, 2026

Projek ‘Muhyiddin Exit’ didakwa dirancang dari dalam dan luar PN

Serangan terhadap bekas Perdana Menteri itu berlaku secara berperingkat dan konsisten, melibatkan pihak dalam Bersatu sendiri serta rakan komponen dalam PN - Marzuki

Mesti Baca

TEKANAN berterusan yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga tercetusnya desakan supaya beliau berundur daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu didakwa bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya merupakan satu gerakan yang dirancang secara sistematik dari dalam dan luar parti.

Bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, serangan terhadap bekas Perdana Menteri itu berlaku secara berperingkat dan konsisten, melibatkan pihak dalam Bersatu sendiri serta rakan komponen dalam PN.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan wujud usaha terancang untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada kedudukan utama dalam gabungan berkenaan.

Beliau mendakwa, dalam Bersatu sendiri, terdapat kepimpinan tertentu yang sepatutnya membantu Presiden mengikut perlembagaan parti, namun sebaliknya bertindak melemahkan kepimpinan Muhyiddin melalui serangan terbuka dan tertutup.

“Muhyiddin secara konsisten diserang dari dalam dan luar parti. Tujuannya satu – Muhyiddin Exit.

“Di dalam parti, Timbalan Presiden yang tugasnya menurut perlembagaan parti adalah membantu Presiden, setiap hari menggunakan tangan-tangan kotor menyerang Presiden. Ini rahsia umum,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.

MARZUKI MOHAMAD

Marzuki bermata, situasi menjadi semakin ketara apabila beberapa pemimpin Pas dilihat tidak lagi berselindung dalam menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Muhyiddin, termasuk menggunakan ungkapan keras yang menggambarkan beliau sudah tidak lagi diperlukan dalam PN.

“Perkataan “berambus”, “your time is finished” sudah keluar dari mulut pemimpin Pas tanpa selindung. “Kawan makan kawan” adalah sindiran kasar pemimpin Pas terhadap Muhyiddin,” katanya.

Mengulas isu pergolakan politik di Perlis, Marzuki berkata, walaupun konflik tersebut berpunca daripada pertelingkahan dalaman Pas, namun Muhyiddin tetap dipersalahkan, sekali gus memperlihatkan corak berulang menuding jari kepada Pengerusi PN itu.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa Muhyiddin enggan berundur demi kuasa, sebaliknya menegaskan bekas Presiden Bersatu itu seorang pemimpin yang realistik dan sedar akan kedudukannya.

“Muhyiddin manusia biasa. Bukan malaikat. Bukan juga ulama’ yang boleh melindungi kelemahannya di sebalik jubah dan serban yang besar.

“Diminta berambus, beliau berambus. Tetapi adakah masanya telah tamat? Belum lagi,” katanya.

Marzuki turut mendedahkan masih wujud usaha mendapatkan sokongan dan pengesahan Muhyiddin, termasuk oleh seorang Naib Presiden Pas yang sanggup mengejar beliau sehingga ke London bagi mendapatkan restu untuk jawatan Pengerusi PN.

Katanya, beberapa pertemuan tertutup antara pimpinan tertinggi Pas dengan Muhyiddin juga menunjukkan bahawa peranan beliau masih signifikan, meskipun akhirnya keputusan yang dibuat gagal meredakan konflik dalaman PN.

“Bincang secara harmoni, buat keputusan secara harmoni, tetapi hasilnya tidak harmoni. Sekarang berbalah lagi.

“Sekali lagi Muhyiddin dipersalahkan oleh Pas. Kemudian disambut pula dengan desakan dari dalam Bersatu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan Presiden,” katanya.

Mengulas cadangan penstrukturan semula PN melalui penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif, Marzuki berkata, langkah itu bukan bertujuan memperkukuh gabungan, sebaliknya dilihat sebagai usaha mengehadkan kuasa Pengerusi PN.

“Cadangan itu menjadi tidak relevan sekiranya Muhyiddin berundur. Ia menunjukkan tujuan sebenar hanyalah untuk mengekang beliau, bukan memperkasakan PN,” ujarnya.

Menurut Marzuki, perkembangan tersebut berpotensi membawa implikasi besar kepada landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan pembubaran Bersatu dan pengukuhan semula UMNO. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan