
TITAH Yang di-Pertuan Agong bahawa “kalau ada yang tidak menerima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia” sepatutnya menamatkan polemik panjang mengenai isu bahasa kebangsaan.
Namun, reaksi melampau sebahagian pihak membuktikan satu hakikat pahit iaitu masih ada kelompok yang enggan menerima asas kenegaraan negara ini.
Isu sebenar bukanlah titah tersebut, tetapi sikap berterusan sesetengah pihak yang mahu menikmati manfaat sebagai warganegara tanpa bersedia memikul tanggungjawab asas iaitu menghormati bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 152 bukan cadangan, bukan pilihan, dan bukan tertakluk kepada tafsiran selesa mana-mana kelompok.
Kontroversi pengiktirafan UEC mendedahkan jurang kefahaman tentang konsep negara bangsa.
Tuntutan agar UEC disetarakan dengan SPM, sedangkan bahasa Melayu tidak dijadikan medium dan teras, jelas bercanggah dengan prinsip kebangsaan.
Ini bukan isu menafikan peluang pendidikan, tetapi isu mengekalkan kerangka negara yang berdaulat.
Lebih membimbangkan, terdapat naratif yang memperlekeh bahasa Melayu atas alasan ia “tidak relevan” atau “tidak penting dalam ekonomi global”.
Hujah ini bukan sahaja dangkal, malah berbahaya. Tiada negara berdaulat di dunia yang mengorbankan bahasa nasionalnya demi keselesaan pasaran.
Jepun, Korea Selatan dan Perancis tidak kehilangan daya saing kerana mempertahankan bahasa mereka sendiri, sebaliknya menjadi lebih kukuh sebagai bangsa.
Ironinya, kegagalan menguasai bahasa kebangsaan bukan berpunca daripada kekurangan peluang, tetapi keengganan.
Warga asing yang menetap sementara di Malaysia mampu bertutur bahasa Melayu dalam tempoh singkat, sedangkan ada warganegara yang lahir, membesar dan bersekolah di sini masih gagal berkomunikasi dalam bahasa negaranya sendiri. Ini mencerminkan masalah sikap, bukan keupayaan.
Harus ditegaskan, mempelajari bahasa Melayu tidak menghapuskan identiti kaum atau budaya.
Ia tidak menukar seseorang menjadi Melayu, apatah lagi memadamkan warisan asal. Ia sekadar satu bentuk penghormatan kepada negara yang memberi kewarganegaraan, peluang dan perlindungan.
Justeru, langkah kerajaan mewajibkan pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di semua aliran sekolah, termasuk sekolah persendirian, adalah keputusan tepat dan berlandaskan kepentingan nasional.
Toleransi yang melampau sehingga menggadaikan asas negara hanya akan melahirkan generasi yang terpisah daripada identiti kebangsaan.
Bahasa kebangsaan bukan untuk dirunding. Ia adalah asas penyatuan. Menolaknya bererti menolak roh negara itu sendiri. — Edisi 9

