23 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

Bahasa kebangsaan identiti negara yang tidak wajar dipersoal

Mesti Baca

Oleh PROF MADYA DR SALINAH JAAFAR

BAHASA Melayu atau bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. 

Sewajarnyalah penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam setiap urusan dan juga setiap paparan yang berkaitan dengan maklumat negara ini.

Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu. 

Penamaan papan tanda di negara ini merupakan urusan rasmi yang terletak di bawah kelolaan kerajaan tempatan.

Maka, demi menjaga identiti dan jati diri negara Malaysia, sewajarnyalah penulisan papan tanda mengutamakan bahasa Melayu.

Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu bersama bahasa lain yang sesuai seperti bahasa Inggeris bagi tujuan rujukan bukan penutur bahasa Melayu tidak dilarang.

Bahkan penggunaan dwibahasa, bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris penting bagi memudahkan penutur asing yang tidak tahu berbahasa Melayu memahami maklumat yang diberikan.

Penulisan papan tanda, nama jalan, dan perkara-perkara yang sama perlulah mengutamakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Singapura misalnya, menggunakan dua bahasa, bahkan ada keadaan di mana papan tanda ditulis dalam tiga bahasa, dan empat bahasa mengikut kesesuaian kawasan yang menjadi perkara utama.

Penulisan papan tanda di Singapura mengutamakan bahasa Inggeris berserta bahasa Melayu, dan ada yang memasukkan bahasa Cina, dan Tamil bergantung kepada lokasi. 

Advertisements

Bagi lokasi biasa, papan tanda ditulis menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Hal ini berlaku kerana bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi dan bahasa rasmi, manakala bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Inggeris merupakan bahasa kebangsaan Singapura. 

Berbalik kepada isu penguatkuasaan peraturan terhadap papan tanda di sekitar Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa tindakan DBKL menguatkuasakan peraturan papan tanda dwibahasa itu telah mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Kenyataan ini adalah tidak mematuhi perkara yang termaktub dalam perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. 

DBKL bukanlah menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata, sebaliknya menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa lain yang mungkin dapat membantu penutur atau pelancong asing memahami makna papan tanda yang ada.

Kenyataan persepsi negatif pelancong terhadap papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu ini agak keterlaluan bagi seorang rakyat Malaysia, yang juga merupakan warganegara Malaysia, yang seharusnya bekerjasama dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di samping menghormati bahasa-bahasa dunia yang lain. 

Perlu juga dilihat pelancong yang manakah akan melihat penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris atau Mandarin sebagai satu perkara yang negatif. 

Adakah ketika kita melancong ke Jepun, Korea, negara China, negara Barat seperti Perancis, Sepanyol dan lain-lain lagi kita akan melihat penggunaan bahasa kebangsaan mereka sebagai satu perkara negatif? 

Dalam soal ini jati diri dan penghayatan kepada rukunegara adalah tonggak kepada jiwa bangsa, lebih-lebih lagi apabila kita ingin mengukuhkan dan mendirikan negara bangsa Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

Demi perpaduan negara dan rakyat yang pelbagai kaum inilah penguatkuasaan terhadap mengutamakan bahasa kebangsaan amat penting dan wajar dilaksanakan.


Penulis merupakan Profesor Madya di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan