MALAYSIA bercadang untuk membawa insiatif Pemerkasaan Pekerjaan melalui Pembelajaran dan Kemajuan Teknikal Inklusif (JELITA) ke peringkat ASEAN bagi merapatkan jurang kemahiran dan ekonomi dalam kalangan wanita di rantau ini.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu sidang kemuncak JELITA@ASEAN akan dilangsungkan bagi memperluaskan inisiatif tersebut.
“Justeru, saya menyeru semua pihak swasta, institusi pendidikan dan masyarakat untuk bersatu hati menjayakan agenda TVET negara.
“Wanita adalah tonggak perubahan dan TVET adalah kunci untuk membukakan pintu-pintu peluang yang lebih luas. Bersama-sama, kita mampu mencipta masa depan yang lebih cemerlang untuk wanita dan negara tercinta,” katanya hari ini.
Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menutup Sidang Kemuncak JELITA@KPT di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) di Melaka hari ini.
Zahid berkata, JELITA merupakan satu inisiatif untuk mencipta perubahan signifikan bagi wanita dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional di Malaysia.
Dilancarkan pada 3 Ogos 2023, JELITA telah membawa pendekatan holistik dengan menyediakan modul latihan intensif, peluang latihan industri serta pensijilan profesional.
“Fokusnya adalah untuk melahirkan graduan wanita yang kompetitif seterusnya bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.
Kata Zahid, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited terhadap agenda memperkasakan wanita.
Katanya, melalui program seperti JELITA dan sokongan ekosistem inklusif, wanita kini diberikan peluang yang lebih luas untuk berkembang maju dalam sektor TVET dan seterusnya memainkan peranan signifikan dalam pembangunan negara.
“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh universiti dalam MTUN yang terdiri daripada universiti-universiti teknikal seperti UTEM, UNIMAP, UMPSA dan UTHM, termasuk UniKL dan UNISel atas dedikasi mereka dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya. – Edisi 9