DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai satu kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati.
Menurut Presiden UMNO, Allahyarham juga seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang tetap setia menemani di setiap waktu senang dan susah.
“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” kata Timbalan Perdana Menteri itu menerusi media sosialnya hari ini.
Bung Moktar, 66, yang baru mempertahankan kerusi DUN Lamag dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 minggu lalu, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, pukul 1.46 pagi ini.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital tersebut sejak pagi semalam.
Ahmad Zahid berkata, beliau bersama seluruh saf kepimpinan UMNO, Barisan Nasional dan seluruh rakyat khususnya di Negeri Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” kata beliau.
Allahyarham Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Allahyarham Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.
Pada 1994 hingga 1999, Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.
Pada 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.
Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.
Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.
Jenazah Allayarham akan dibawa ke Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu pada pukul 10 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat fardu Jumaat. — Edisi 9

