
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT, semoga kita beroleh rahmat dan kasih-Nya. Laksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan segala yang ditegah.
Berikan tumpuan kepada bicara khutbah, hindari perkara-perkara lagha agar kita dikurniakan ganjaran solat Jumaat yang sempurna.
Mari kita dengar dan hayati khutbah hari ini bertajuk, “Amanah Terpelihara, Keluarga Terbela”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Keluarga ialah amanah yang Allah SWT berikan kepada kita. Pada rumah tangga itulah tertanam benih akhlak, terbentuk kemahiran sosial, diasah ketahanan emosi, dan dipupuk nilai agama seseorang.
Apabila keluarga kukuh, maka masyarakat terbina; dan apabila rumah tangga teguh, negara turut makmur.
Namun apabila institusi keluarga mula rapuh, ketandusan akhlak dan keruntuhan masyarakat akan menyusul tanpa amaran.
Justeru, amanah keluarga bukan urusan kecil atau sampingan, tetapi satu taklif syariah yang berat, yang pasti akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Sesungguhnya, kesejahteraan dan keteguhan sesebuah keluarga tidak akan tercapai tanpa amanah yang dijunjung dengan penuh keikhlasan.
Apabila setiap ahli keluarga menunaikan amanahnya dengan sepenuh hati, rumah tangga menjadi benteng yang kukuh, tempat lahirnya kasih sayang, hormat-menghormati, dan ketenangan yang menyuburkan jiwa.
Sebaliknya, amanah yang diabaikan mengundang retaknya ikatan, dan meruntuhkan kesejahteraan yang sepatutnya menjadi pusaka paling berharga dalam hidup.
Inilah yang jelas dipaparkan dalam firman Allah SWT yang menjadi mukadimah khutbah, menerusi Surah al-Ahzab ayat 72, bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
Para Tetamu Allah Yang Diberkati,
Dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya. Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”
Hadis ini menjadi prinsip asas dalam binaan keluarga. Setiap daripada kita tidak terlepas daripada bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
Bezanya ialah amanah setiap orang berbeza mengikut posisinya. Keluarga yang memahami konsep amanah akan berusaha menunaikan tanggungjawab mengikut kemampuan dan panduan syariat.
Ketika amanah ini ditunaikan, maka terbinalah keluarga yang harmoni, saling menyokong, dan hidup dalam mawaddah serta rahmah.
Para tetamu Allah yang dimuliakan,
Malangnya, banyak keretakan rumah tangga masa kini berpunca daripada kegagalan menunaikan amanah. Rumah tangga ialah satu perjanjian suci yang bertujuan mencapai ketenangan.
Namun, kita dapat lihat pada hari ini satu demi satu kisah-kisah keretakan rumah tangga yang membarah dalam masyarakat kita.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan perceraian orang Islam di Malaysia mencatatkan peningkatan 7.3 peratus pada 2024 sebanyak 47,577 kes berbanding 2023 iaitu 44,322 kes.
Ada suami yang mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah dan bimbingan agama. Suami perlu ada sifat qawwam iaitu kepimpinan yang tinggi.
Kepimpinan menuntut tanggungjawab bukan hanya menyediakan wang, tetapi melindungi kehormatan diri dan keluarga daripada fitnah.
Tugas suami memastikan setiap kebajikan ahli keluarganya terjaga terutamanya kebajikan rohani. Ambil peduli akan pegangan agama keluarga.
Jangan dibiarkan jauh daripada Allah SWT. Tepuk dada tanya diri sendiri bila kali terakhir kita bertanya keadaan agama ahli keluarga kita?
Manakala isteri pula diamanahkan untuk menjaga maruah dan kehormatan ketika suami tiada. Aib keluarga seharusnya dijaga.
Realiti hari ini masalah rumah tangga disebarkan seluas-luasnya untuk tatapan umum di media sosial.
Jangan membiarkan syaitan memasukkan agendanya dengan mendedahkan masalah rumah tangga kita.
Sekiranya melibatkan kezaliman atau pengabaian hak wajib melalui saluran yang sepatutnya.
Amanah kehormatan rumah tangga ini berat dan tidak boleh sewenangnya diceritakan kepada sesiapa.
Kesan pengabaian amanah tidak terhenti pada perbalahan dalam keluarga, malah membawa implikasi sosial yang lebih luas.
Anak-anak khususnya yang kehilangan bimbingan mudah terjebak dalam gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, ketagihan hiburan melampau, kecenderungan kepada tingkah laku berisiko serta tekanan emosi.
Rumah yang kekurangan kasih sayang akan melahirkan jiwa yang kosong. Rumah yang tiada bimbingan agama akan melahirkan insan yang hilang pedoman.
Rumah yang gagal menegakkan amanah akan melahirkan generasi yang lemah, tidak bersedia menghadapi cabaran kehidupan.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Untuk memastikan amanah ini sentiasa segar, keluarga perlu dibina dengan asas agama yang kukuh.
Rumah yang dihiasi dengan bacaan al-Quran, solat berjemaah, doa bersama, dan kata-kata penuh hikmah akan menjadi benteng yang memelihara keluarga daripada segala bentuk kerosakan moral.
Suasana rumah yang tenang bukan datang daripada kemewahan, tetapi daripada hubungan yang disirami kasih sayang, saling memahami dan saling memuliakan.
Tambahkan ilmu rumah tangga dengan menghayati sirah baginda SAW dalam berkeluarga. Hubungan rumah tangga yang erat terbina di atas kepercayaan.
Kepercayaan pula dipupuk melalui tanggungjawab masing-masing terhadap amanah mereka.
Apabila suami isteri saling mempercayai rumah tangga akan dipenuhi ketenangan. Setiap pasangan perlu berusaha membina kejujuran, keterbukaan dan komunikasi yang matang supaya amanah sentiasa terpelihara.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 28 November 2025.

