Tuesday, June 16, 2026

Pakistan punya potensi besar bagi PKS Malaysia – SME Corp.

Antara pasaran yang berpotensi adalah dalam sektor makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan dan teknologi bersih.

Mesti Baca

PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) negara ini mempunyai potensi besar untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Pakistan, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.

Beliau berkata, ini kerana Pakistan mempunyai populasi penduduk yang besar dan muda selain kemajuan urbanisasi dan pembangunan infrastruktur yang berterusan, sekali gus menyumbang perkembangan permintaan pasaran.

Menurutnya, antara pasaran yang berpotensi adalah dalam sektor makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan (modest wear) dan teknologi bersih (clean technology).

Manakala Malaysia pula, jelas beliau, mempunyai kekuatan dalam pensijilan halal dan inovasi digital juga memberikan kelebihan daya saing kepada PKS untuk menawarkan produk dan perkhidmatan premium.

“Kami melihat potensi besar untuk PKS Malaysia ke pasaran Pakistan. Ini termasuk dalam bidang yang mempunyai kelebihan daya saing berikutan peningkatan permintaan di Pakistan seperti pakaian sopan berjenama, perkhidmatan platform (platform services), pendidikan kanak-kanak, pertanian lestari dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diterajui PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara SME Corp Malaysia dan Small and Medium Enterprise Development Authority (SMEDA) Pakistan di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada majlis itu Rizal mewakili SME Corp Malaysia manakala SMEDA diwakili oleh Pembantu Khas kepada Perdana Menteri Pakistan (Hal Ehwal Luar Negara), Syed Tariq Fatemi.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif sempena lawatan beliau ke negara ini.

Rizal berkata, MoU tersebut mewujudkan rangka kerja asas untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempercepat pembangunan PKS di kedua-dua negara.

“Kerjasama ini menumpukan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik terutamanya dalam pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran.

“Matlamat kedua-dua organisasi adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang membolehkan PKS di kedua-dua negara dipertingkat untuk menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang dengan signifikan kepada pembangunan ekonomi,”katanya.

Pemeteraian MoU antara Malaysia dan Pakistan itu juga, tambah beliau, membuka potensi pertumbuhan yang kukuh untuk PKS kedua-dua negara. – Edisi 9

Related posts:

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan