
Jemaah yang dirahmati Ilahi,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan mengerjakan setiap perintah serta menjauhi segala larangan Nya.
Sesungguhnya kemuliaan seseorang insan dinilai daripada ketakwaan; dan tiada bekalan yang lebih baik untuk akhirat melainkan takwa.
Mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk: Kesederhanaan Dalam Berpolitik
Firman Allah SWT:

Bermaksud: Dan demikian pula (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad), umat yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasul (Muhammad) akan menjadi saksi atas (perbuatan) kamu semua… (Surah al-Baqarah ayat 143)
‘Politik’ atau ‘siasah’, merujuk pada pengetahuan atau ilmu berkenaan kenegaraan dan pemerintahan.
Politik juga ditakrif sebagai kelakuan, kebijaksanaan, kebolehan, tipu muslihat yang diamalkan oleh seseorang atau sesuatu pihak dengan tujuan untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu maksud, atau untuk menambah kuasa dan pengaruh.
Islam meletakkan politik tergolong dalam perkara siyasah syar‘iyyah, iaitu segala bentuk pentadbiran dan kepimpinan yang tidak bercanggah dengan syariat, bertujuan membawa maslahah (kebaikan) serta menolak mafsadah (kerosakan).
Imam al- Mawardi, dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah menyifatkan politik Islam sebagai al-imamah al ‘uzma (kepimpinan agung) yang wajib untuk menjaga agama dan mengurus dunia, ujar beliau:

Bermaksud: “Kepimpinan itu diwujudkan sebagai pengganti kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengannya.”
Jemaah yang dilimpahi fadilat Ilahi,
Bagaimanakah peranan politik yang seharusnya untuk menjaga agama dan mentadbir urusan dunia?
Pertama: Politik wajib berdiri atas amanah dan keadilan. Tanpa amanah dan keadilan, segala matlamat asal politik tidak akan terlaksana.
Politik seharusnya menjadi saluran untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, menjauhi kezaliman, di samping mengangkat kemakmuran negara, Allah SWT berfirman:

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…” (Surah an-Nisa’ ayat 58′)
Kedua: Politik adalah saluran untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negara. Kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

Bermaksud: Keputusan pemerintah (mestilah) tertakluk kepada kemaslahatan (kebaikan) terhadap rakyat.
Politik bukan saluran untuk disalahgunakan bagi tujuan membina kemasyhuran diri, atau merebut jawatan atau mengumpul kekayaan peribadi.
Ingatlah! Setiap jawatan politik yang disandang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Pemimpin itu adalah penjaga, dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ketiga: Berpolitik bertujuan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Dan hendaklah antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam), dan menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji (mungkar). Dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran ayat 104)
Jemaah yang dilimpahi rahmat Ilahi,
Diperhatikan budaya berpolitik dalam kalangan sebahagian ahli politik di negara kita, begitu juga para pendukung dan penyokong, semakin menyimpang daripada matlamat asal.
Perkataan dan perbuatan bersifat melampau, kini menjadi punca memecahbelahkan ummah.
Tanpa memikirkan soal dosa, berlaku secara berleluasa, perbuatan fitnah memfitnah, hina menghina, tohmah-mentohmah, kerana sikap taksub dan kesetiaan membuta tuli terhadap pemimpin atau kumpulan, mengatasi kepentingan agama, negara dan ummah.
Media sosial dijadikan gelanggang untuk menabur fitnah, memaki hamun, mengeji dan menghina lawan politik.
Berpolitik jangan sampai ke peringkat menghalalkan cara untuk mencapai matlamat, sehingga mencetuskan permusuhan, memutuskan silaturahim, dan memecahbelahkan rakyat yang pada akhirnya akan menggugat ketenteraman awam, serta kestabilan dan keselamatan negara.
Sikap melampau ditegah oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang mafhumnya:
“Jauhilah kamu sikap melampau, kerana sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah sikap melampau.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Imam Hassan al-Basri diriwayatkan berkata “Allah telah menjadikan agama ini berdiri di antara dua jangan; jangan melampau dan jangan cenderung kepada orang yang zalim”
Menelusuri sejarah, umat Islam pernah beberapa kali menghadapi detik hitam terkait kumpulan khawarij yang melampau dalam berpolitik.
Malaysia turut menerima tempias kumpulan Jemaah Islamiah dan Islamic State yang berfahaman ghuluw.
Kumpulan pelampau menjadikan politik sebagai wadah mengkafirkan lawan; seterusnya menghalalkan darah demi perjuangan mereka.
Kumpulan yang berfahaman sebegini wajib dijauhi demi kelangsungan keamanan sesebuah negara.
Dibimbangi, umat Islam akan berpecah, hilang persaudaraan, hilang kekuatan,mudah diperalat musuh, bahkan mungkin kembali dijajah jika perbuatan melampau dalam berpolitik tidak segera dibendung.
Kembalilah kepada roh Islam yang menyeru ummah membina ukhuwah dan silaturahim dalam semangat kasih mengasihani, tolong-menolong dan saling membantu.
Jemaah Rahimakumullah,
Mimbar mengingatkan empat perkara berikut;
Pertama: Politik adalah sebahagian daripada kehidupan umat Islam, namun mestilah berlandaskan syariat; bersifat amanah, adil, sederhana, dan menjaga perpaduan.
Jangan taksub kepada individu atau kumpulan sehingga meminggirkan nilai agama.
Kedua: Ummah hendaklah berpolitik secara berhikmah, berakhlak dan berhemah, mendahulukan kepentingan Islam, watan dan rakyat.
Ketiga: Bersifat sederhana. Jika menyanjungi sesuatu pihak atau seseorang, jangan bersifat terlalu taksub hingga tergelincir iman dan akidah; demikian pula jika membenci sesuatu pihak atau seseorang, jangan sampai ke tahap melakukan kezaliman.
Kesetiaan bukannya kepada individu mahupun kumpulan, tetapi kesetiaan hendaklah pada kebenaran berlandaskan syariat yang dibawa Rasulullah SAW.
Keempat: Jadikan rumah-rumah Allah, masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pusat ilmu dan pusat kemasyarakatan yang dapat mendamai dan menyatukan ummah dalam semangat ukhuwah, semangat persaudaraan Islam, bersilaturahim, berkasih sayang antara satu sama lain, meski memiliki fahaman politik yang berbeza.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 12 September 2025.

