AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap tuntutan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) memansuhkan program matrikulasi adalah amat cetek, melampau dan sengaja mencari salah.
Beliau berkata, tiada sebab untuk kerajaan memansuhkan matrikulasi dan menjadikan hanya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam peringkat ijazah.
“Kenapa mesti hapuskan matrikulasi? Apakah dia menolak persaingan dan meritokrasi. Kecuali jika meritokrasi diberi laluan emas, gred direndahkan atau terdapat unsur pilih kasih.
“Jangan kerana seorang yang terlalu memilih kursus dan tempat tetapi gagal kerana faktor merit maka kita mahu korbankan program yang baik dan membuka persaingan sihat.
“Tingkatan 6 juga sudah dijenamakan dan dinaik taraf. Bersainglah,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Beliau mengulas tindakan UMANY yang menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam bagi jurusan ijazah.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik.
ADUN Rengit itu berkata, semua tahu isu utama hanya kerana seorang pelajar yang mendapat CGPA 4.0 dalam peperiksaan STPM tetapi gagal masuk ke kursus dan universiti pilihan utamanya kerana merit.
Sedangkan, kata beliau, ramai lagi pelajar yang memperoleh CGPA sama malah memiliki merit lebih baik yang perlu dia bersaing.
Sebelum ini seorang pelajar, Edward Wong kecewa kerana impiannya memasuki bidang perakaunan di Universiti Malaya ditolak walaupun memperoleh CGPA 4.0 dalam peperiksaan STPM.
Malahan beliau mendapat, selain UM, lima lagi universiti awam turut menolak permohonannya dan hanya ditawarkan bidang pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).
Menjelaskan perkara itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) berkata, pelajar dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk tidak mendapat tempat dalam kursus Perakaunan di UM melalui Unit Pusat Universiti (UPUOnline).
Ini kerana, Edward yang memperoleh CGPA 4.0 dan skor kokurikulum 99.9 peratus berada pada kedudukan ke-1,129 daripada 2,291 pemohon yang layak ke UM.
Bagaimanapun, hanya 85 tempat sahaja ditawarkan untuk kursus perakaunan tahun ini.
Dia akhirnya ditawarkan ke program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan utama, iaitu pilihan kelimanya. — Edisi 9

