Wednesday, July 22, 2026

Pelabuhan Klang antara 10 pelabuhan kontena paling sibuk dunia

Pengumuman Lloyd’s List 2025 Top 100 Ports itu menyaksikan Pelabuhan Klang kini berada di tangga ke-10, sekali gus mengatasi kedudukan Hong Kong.

Mesti Baca

MALAYSIA melakar pencapaian bersejarah dalam sektor maritim apabila Pelabuhan Klang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia buat julung kalinya.

Menurut Kementerian Pengangkutan, pengumuman yang dibuat menerusi Lloyd’s List 2025 Top 100 Ports itu menyaksikan Pelabuhan Klang kini berada di tangga ke-10, sekali gus mengatasi kedudukan Hong Kong.

“Kejayaan ini mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod 2024, Pelabuhan Klang mengendalikan 14.64 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), meningkat 4.1 peratus berbanding 14.06 juta TEU pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan aktiviti import dan eksport sebanyak 8.9 peratus, sejajar permintaan berterusan terhadap barangan buatan, industri dan pengguna.

“Walaupun berdepan cabaran global termasuk krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa,” jelas kenyataan itu lagi.

Momentum positif tersebut dijangka berterusan dengan throughput mencecah 14.98 juta TEU tahun ini.

Lonjakan ke tangga kesepuluh melengkapkan rekod peningkatan konsisten sejak beberapa tahun lalu, iaitu dari tangga ke-13 (2022), ke-11 (2023) dan kini ke-10.

Pencapaian ini turut disokong pelbagai pelaburan dan pembangunan infrastruktur strategik, termasuk:

Westports: pengembangan terminal baharu CT10 hingga CT17 yang bakal menggandakan kapasiti kepada 28 juta TEU menjelang 2028.

Northport: naik taraf Dermaga 9 serta fasiliti lain bagi menyokong operasi kapal lebih besar.

Pulau Carey: projek mega jangka panjang dengan potensi meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060.

Selain itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut mengekalkan kedudukan ke-15 dunia bagi dua tahun berturut-turut, dengan throughput meningkat 16.9 peratus kepada 12.25 juta TEU pada 2024.

“Gabungan kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada tahun lalu, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk dunia,” kata Kementerian Pengangkutan.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk Lembaga Pelabuhan Kelang, Westports Malaysia Sdn. Bhd., Northport (Malaysia) Bhd., Lembaga Pelabuhan Johor dan PTP atas sumbangan mereka dalam kejayaan ini. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan