Wednesday, July 22, 2026

Dengar rintihan rakyat: Cukai kecantikan tidak diteruskan – MOF

Keputusan itu adalah sebahagian daripada semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang diumumkan pada 9 Jun lalu.

Mesti Baca

KERAJAAN mengambil langkah proaktif membatalkan cadangan peluasan Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, dandanan dan gunting rambut, selepas meneliti sentimen awam dan maklum balas rakyat.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dauk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang diumumkan pada 9 Jun lalu.

“Kerajaan mendengar suara rakyat. Kami mahu memastikan pelaksanaan SST kekal progresif tanpa membebankan pengguna atau menjejaskan perkhidmatan yang menjadi keperluan ramai, terutamanya golongan pekerja dan belia,” katanya dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Beliau berkata, tindakan tidak meneruskan peluasan SST kepada perkhidmatan kecantikan dilihat sebagai satu langkah yang mesra rakyat, khususnya dalam situasi ekonomi yang masih mencabar.

Dalam semakan yang sama, kerajaan turut mengecualikan beberapa buah import terpilih daripada dikenakan Cukai Jualan seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma mulai 1 Julai ini.

MOF menjelaskan, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada tekanan harga barangan harian dan menyokong pilihan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat.

“Barangan keperluan asas seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran, telur serta ikan tempatan juga kekal dikecualikan daripada Cukai Jualan,” menurut kenyataan itu.

Bagi mengurangkan beban terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula, kerajaan turut mengumumkan kenaikan ambang nilai jualan tahunan bagi perkhidmatan tertentu yang tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan.

Had ambang untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan, serta perkhidmatan kewangan, dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun. 

“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan melebihi RM1 juta akan tertakluk kepada SST, memberi kelegaan kepada ribuan pengusaha kecil di seluruh negara,” katanya.

MOF turut menasihatkan orang ramai dan peniaga supaya merujuk saluran rasmi untuk sebarang maklumat terkini, termasuk laman web rasmi dan infografik SST yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Pusat Panggilan JKDM di talian 1-300-888-500 atau nombor hotline yang disediakan.

Langkah semakan semula SST itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk menyelaraskan dasar fiskal yang adil dan responsif terhadap keperluan rakyat dan industri, kata MOF. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan