Tuesday, July 21, 2026

Malaysia berpeluang jadi destinasi utama calon PhD dari Afrika

Negara mereka memerlukan puluhan ribu pensyarah dengan kelulusan PhD dan telah merancang perkara itu bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

MALAYSIA berpotensi menjadi destinasi utama bagi calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari negara-negara Afrika susulan keperluan mendesak benua itu untuk melahirkan lebih ramai pensyarah berkelayakan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, wakil Afrika menyatakan keperluan sehingga 100,000 pemegang PhD di setiap negara di benua itu bagi memperkukuh mutu pendidikan tinggi mereka dan memastikan ia setanding dengan piawaian global.

Beliau berkata, negara mereka memerlukan puluhan ribu pensyarah dengan kelulusan PhD dan telah merancang perkara itu bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Inisiatif ini membuka peluang besar kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia untuk menawarkan program berkualiti kepada calon dari benua Afrika.

“Hal ini kerana graduan dari IPT Malaysia tidak menghadapi masalah untuk melanjutkan pengajian atau memasuki pasaran kerja di luar negara membuktikan tahap kualiti institusi pengajian tinggi kita diiktiraf secara global.

“Malaysia perlu melihat perkara ini sebagai satu potensi besar buat IPT tempatan untuk menawarkan tempat kepada pelajar dan calon dari Afrika, khususnya dalam kalangan pensyarah, bagi melanjutkan pengajian di peringkat PhD,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Dialog Meja Bulat bersama delegasi negara Afrika berkaitan Masa Depan Pendidikan Transnasional (TNE) dalam pendidikan tinggi anjuran British Council di Cardiff, Wales, United Kingdom (UK).

Mohammad Shatar berkata, sebagai badan yang mengawal selia akreditasi dan kualiti pendidikan tinggi negara, MQA menyarankan agar IPT tempatan mengambil peluang ini secepat mungkin sebelum ia direbut oleh negara lain, lebih-lebih lagi melihat kepada keterbukaan negara-negara Afrika untuk menghantar calon mereka bagi menyambung pengajian di luar negara.

Katanya, IPT tempatan sama ada awam mahupun swasta perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi pasaran yang terbuka luas ini kerana permintaan tinggi dari Afrika memperlihat kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pendidikan tinggi Malaysia yang semakin diiktiraf di peringkat global.

“Sebagai badan yang menyelaras akreditasi dan jaminan kualiti pendidikan tinggi, kita mahu IPT tempatan bertindak segera sebelum negara lain mendahului dalam merebut peluang ini.

“Langkah ini juga akan menyokong aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan