DALAM suasana penuh mesra dan keakraban diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, hari ini menzahirkan komitmen bersama untuk membawa hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Pertemuan tertutup yang berlangsung di Jakarta sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia itu menyaksikan kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai aspek kerjasama meliputi bidang pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dan yang paling kritikal, isu sempadan yang tertangguh.
Anwar menyifatkan perbincangan yang berlangsung sebagai terbuka, jujur dan strategik, mencerminkan tahap keyakinan tinggi antara dua negara serumpun yang mempunyai sejarah panjang persaudaraan.
“Kami bertukar pandangan secara mendalam dan mendapati bahawa Malaysia dan Indonesia berkongsi pendirian yang seiring dalam pelbagai isu, baik dua hala mahupun serantau.

“Keserasian ini adalah bukti hubungan akrab dan strategik yang terus kukuh dari semasa ke semasa,” kata Anwar sempena lawatan tersebut hari ini.
Antara fokus utama pertemuan ialah usaha mempercepatkan kerjasama dalam sektor pendidikan, ekonomi dan kebudayaan, yang disifatkan oleh kedua-dua pemimpin sebagai langkah penting untuk menjana manfaat langsung kepada rakyat.
“Langkah ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, pelaburan, dan memperkayakan interaksi budaya antara rakyat kedua-dua negara,” ujar beliau.
Pengukuhan kerjasama ini juga dilihat mampu memperluas jaringan sosioekonomi antara Malaysia dan Indonesia yang secara geografi, budaya dan bahasa berkongsi banyak persamaan.
Anwar dan Prabowo turut sepakat bahawa penyelesaian terhadap isu sempadan – khususnya yang berkait maritim – perlu diberi keutamaan segera.
“Kami beriltizam untuk menyelesaikan isu-isu sempadan yang masih tertangguh. Penyelesaian secara adil dan menyeluruh amat penting bagi memastikan keharmonian kekal terpelihara.
“Pendekatan menang-menang akan jadi asas kepada penyelesaian ini,” tegas Anwar.
Isu sempadan antara Malaysia dan Indonesia melibatkan sensitiviti nasional, namun Anwar yakin semangat saling percaya yang terjalin antara kedua-dua negara akan membolehkan penyelesaian secara diplomatik dicapai tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.
Dalam konteks serantau, Malaysia dan Indonesia yang merupakan pengasas ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin rumit.
Kedua-dua pemimpin sependapat bahawa perpaduan dan kestabilan ASEAN mesti dipertahankan, dan hubungan erat Malaysia–Indonesia boleh dijadikan teladan utama.
“ASEAN yang bersatu dan stabil adalah tunjang kepada rantau yang makmur dan berdaya saing. Malaysia dan Indonesia akan terus memainkan peranan utama dalam memastikan semangat kejiranan dan integrasi serantau kekal utuh,” ujar Anwar.
Lawatan tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi memperlihatkan hala tuju jelas diplomasi Malaysia–Indonesia yang sedang beralih ke era baharu yang lebih berani, lebih strategik, dan lebih memihak kepada manfaat rakyat.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kerjasama serumpun seperti inilah yang menjadi benteng dan tonggak kekuatan rantau Asia Tenggara. — Edisi 9

