Friday, June 5, 2026

MUU sokong fatwa Selangor, gesa individu dalam SIS bertaubat

Individu-individu dalam pertubuhan tersebut tetap terikat dengan fatwa yang telah digazetkan dan boleh dikenakan tindakan oleh pihak penguatkuasa agama.

Mesti Baca

MAJLIS Ulama UMNO (MUU) menyatakan sokongan terbuka terhadap fatwa Kerajaan Negeri Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dalam kenyataan media hari ini, MUU berkata pihaknya akur dengan fatwa yang digazetkan pada 31 Julai 2014 itu, dan menegaskan bahawa ia selaras dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah serta keperluan menjaga kesucian agama dalam negara ini.

“Mana-mana individu yang berfahaman demikian hendaklah bertaubat dan kembali kepada Islam,” kata MUU, merujuk kepada ketetapan dalam fatwa tersebut.

Mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam berhubung pertikaian pemakaian fatwa tersebut terhadap SIS Forum (Malaysia), MUU menyatakan penghormatan terhadap keputusan itu yang dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan

Namun begitu, menurut MUU, keputusan mahkamah itu tidak menjejaskan kedudukan fatwa terhadap individu Muslim dalam pertubuhan terbabit.

“Individu-individu dalam pertubuhan tersebut tetap terikat dengan fatwa yang telah digazetkan dan boleh dikenakan tindakan oleh pihak penguatkuasa agama,” katanya.

MUU juga menyatakan hasrat untuk mendapatkan pandangan pakar undang-undang bagi memahami implikasi keputusan tersebut dan langkah yang wajar diambil dalam usaha memperkasa pelaksanaan dan penguatkuasaan fatwa di peringkat negeri.

Keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu menarik perhatian pelbagai pihak apabila mahkamah membenarkan permohonan SIS Forum untuk mencabar pemakaian fatwa ke atas mereka, memutuskan bahawa fatwa itu tidak boleh dikuatkuasakan terhadap sebuah entiti syarikat yang berdaftar di bawah undang-undang sivil.

Bagaimanapun, MUU menegaskan bahawa keputusan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengembangkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dianggap bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sebarang usaha untuk meremehkan atau melemahkan kedudukan fatwa mestilah ditolak dengan tegas,” katanya.

MUU turut menyeru umat Islam agar lebih berwaspada terhadap sebarang fahaman yang boleh mengelirukan pegangan akidah, dan mengingatkan bahawa fatwa bukan sekadar pandangan hukum, tetapi juga panduan akidah, syariah dan akhlak yang sah dari sudut undang-undang.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah perbahasan awam yang semakin rancak mengenai ruang kebebasan beragama, tafsiran Islam dalam konteks negara majmuk, serta peranan institusi fatwa dalam perundangan negara. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan