UMNO Terengganu memandang serius tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz yang meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dan berharap isu tersebut ditangani secara bijaksana politik dan persefahaman bersama.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, Kerajaan Perpaduan perlu terus diperkasa dan tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“UMNO Terengganu sesungguhnya menyokong penuh apa jua tindakan dan keputusan yang akan diputuskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dan melepaskan semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Pada masa yang sama beliau turut bercadang untuk menganggotai PKR yang mana tindakan beliau telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli dan pemerhati politik tanah air
Mohd Sabri berkata, UMNO Terengganu mahu perkara ktu ditangani dengan teliti dan tegas memandangkan keputusan itu, walaupun bersifat peribadi tetapi melibatkan sensitiviti antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pasak penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah kompromi dan toleransi antara parti. Tindakan beliau (Tengku Zafrul) untuk menyertai PKR memberi gambaran bahawa prinsip setiakawan antara parti masih gagal diterapkan.
“Ini boleh merosakkan persepsi rakyat terhadap permuafakatan teguh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu ini.
Justeru, beliau berkata, UMNO Terengganu berpandangan bahawa tidak wajar untuk mana-mana parti dalam kerajaan Perpaduan menerima keahlian dari ahli parti-parti rakan kerajaan.
“Prinsip ini mestilah dipertahankan. Dalam kes Tengku Zafrul, adalah jelas PKR tidak sewajarnya menerima permohonan keahlian beliau,” katanya. – Edisi 9

