MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) kini memperkenalkan pendekatan baharu dalam strategi penghantaran pelajar ke luar negara, dengan memberi tumpuan kepada universiti yang mempunyai hubungan strategik dan rapat dengan industri global.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan itu bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga memastikan graduan MARA berpeluang cerah mendapat pekerjaan bergaji tinggi sebaik tamat pengajian.
Beliau berkata, pada masa kini pelbagai universiti terkemuka di United Kingdom (UK) menyatakan minat untuk bekerjasama dengan MARA selepas mengetahui beliau kini berada di negara itu.
“Alhamdulillah, banyak universiti luar negara termasuk beberapa universiti di UK yang hubungi saya dan MARA mahu berjumpa apabila mereka tahu saya masih di UK untuk menawarkan diskaun yuran pengajian pelajar MARA,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Malah, Asyraf Wajdi berkata, terdapat sebuah universiti terkemuka yang pernah menerima ramai pelajar MARA sebelum ini tampil menawarkan sehingga 25 peratus diskaun yuran..
Katanya, ini selepas mereka mengetahui kejayaan MARA mendapatkan tawaran diskaun sehingga 20 peratus daripada tiga universiti utama UK sebelum itu.
“Kelmarin di University College London (UCL) yang merupakan antara 10 terbaik di UK, Naib Presidennya sendiri menyatakan kesediaan untuk menawarkan diskaun kepada MARA jika kita menghantar lebih ramai pelajar cemerlang ke sana,” katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, MARA kini memberi keutamaan kepada universiti yang menjalin kerjasama erat dengan sektor industri sebagai usaha memperkasa pembelajaran berasaskan aplikasi, bukan sekadar teori.
Selain UK, katanya, MARA juga memperluas kerjasama dengan universiti-universiti di Jerman dalam bidang teknologi tinggi.
Katanya, kelebihan pelajar dari Jerman ialah kadar kebolehpasaran hampir 100 peratus, memandangkan lebih 500 syarikat Jerman kini beroperasi di Malaysia.
“Keutamaan MARA bukan sekadar memastikan pelajar mendapat pendidikan terbaik dalam bidang strategik untuk masa depan negara, tetapi juga dalam bidang yang boleh menjamin pekerjaan bergaji premium kepada graduan MARA,” tegas Asyraf Wajdi.
Langkah ini, kata beliau, selaras dengan pelan transformasi MARA yang sedang giat dijalankan bagi memastikan pelajar bumiputera terus mendapat peluang pendidikan bertaraf dunia yang relevan dengan keperluan industri dan masa depan ekonomi negara.
Asyraf Wajdi sedang berada di UK bagi mengikuti lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan lawatab rasmi empat hari ke negara itu. – Edisi 9

