Tuesday, June 16, 2026

Malaysia-Laos bersetuju perkukuh hubungan dua hala

Merentasi pelbagai sektor menjelang sambutan ulang tahun ke-60 jalinan diplomatik antara kedua-dua negara yang akan disambut tahun hadapan.

Mesti Baca

MALAYSIA dan Laos bersetuju memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor menjelang sambutan ulang tahun ke-60 jalinan diplomatik antara kedua-dua negara yang akan disambut tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone ke Malaysia bermula hari ini.

Ini merupakan lawatan pertama Siphandone ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022.

Menurut Anwar, pertemuan tersebut turut menyentuh perkembangan pelbagai kerjasama strategik termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan, pelancongan, pertanian, industri halal dan pembinaan kapasiti.

“Dalam sidang media bersama, saya sempat menzahirkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama erat yang diberikan oleh kerajaan Lao kepada Malaysia, terutama dalam membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bermula awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar Ibrahim bersama Sonexay Siphandone semasa majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. – Foto: PMO

Terdahulu, Perdana Menteri Laos dan delegasinya disambut dengan istiadat rasmi ketibaan dan pemeriksaan perbarisan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di Dataran Perdana, Putrajaya sebelum kedua-dua pemimpin menghadiri mesyuarat terhad bersama delegasi masing-masing.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga sependapat untuk meningkatkan kerjasama tenaga serantau menerusi pembangunan ASEAN Power Grid yang dijangka melalui Republik Demokratik Rakyat Lao, Kemboja dan Thailand menuju ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.

“Perkembangan dua pelabuhan darat, iaitu di Perlis dan Pelabuhan Thanaleng di Laos turut dibincangkan. Kedua-duanya menunjukkan kemajuan pesat dan dijangka siap tahun ini,” katanya.

Turut dibincangkan ialah kerjasama dalam bidang tenaga kerja, digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga alternatif dan nadir bumi.

Dalam masa sama, Anwar berkata, pertemuan itu juga memberi tumpuan terhadap persediaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 termasuk peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam membawa rantau ini ke tahap lebih maju.

“Antara perkara utama yang turut dibincangkan ialah kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN yang diharapkan dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Oktober ini serta isu kemanusiaan dan gencatan senjata di Myanmar,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan