PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu mengamalkan nepotisme, sambil menyifatkannya sebagai serangan bermotif politik yang tidak berasas dan cuba memesongkan perjuangan sebenar parti.
Menurut Anwar, tuduhan tersebut sengaja digembar-gemburkan pihak tertentu selepas anaknya, Nurul Izzah mendapat sokongan anggota parti secara demokratik sebagai Timbalan Presiden.
Beliau mengingatkan sewaktu isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerajui parti itu pada saat paling getir, tidak timbul sebarang dakwaan seumpama itu.
“Saya menghimbau kembali saat Azizah tampil menakhodai parti ini di waktu paling getir, tatkala seluruh instrumen kekuasaan digunakan untuk memadam obor perjuangan PKR.
“Ketika itu, tidak kedengaran sebarang suara melontarkan tuduhan nepotisme,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pemilihan PKR sempena Kongres Nasional di Johor Bahru semalam, Nurul Izzah berjaya menyingkirkan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti.
Anwar berkata, Nurul Izzah, seperti mana pimpinan lain dalam parti, wajar dinilai berdasarkan kewibawaan, sumbangan dan iltizam terhadap perjuangan parti, bukannya diserang menerusi naratif yang dipacu pihak musuh.
“Apabila (Nurul) Izzah mara menerusi proses demokratik dan meraih sokongan anggota parti secara terbuka, tuduhan ini tiba-tiba dimainkan. PKR +tidak boleh terperangkap dalam naratif musuh,” tegas Anwar.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru agar seluruh kepimpinan dan anggota PKR terus memperkukuh integriti dan menolak politik sempit berasaskan perkauman serta fitnah.
“PKR bukan sekadar sebuah parti politik. Ia adalah sebuah wadah perjuangan yang dibina atas keringat, air mata dan keyakinan rakyat bahawa negara ini mampu diurus dengan lebih adil, saksama dan berprinsip,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesetiaan dalam parti tidak harus berpaksi kepada individu, sebaliknya kepada idealisme perjuangan yang menjadi teras PKR sejak ditubuhkan.
Anwar turut menegaskan bahawa parti itu akan terus kekal sebagai suara rakyat dengan memperjuangkan agenda ekonomi yang membela golongan rentan, serta memacu reformasi dan tadbir urus yang telus, bersih dan berwibawa.
“Kita tidak takut diuji, kerana PKR lahir daripada ujian. Kita tidak gentar dikecam, kerana PKR diasaskan atas keberanian untuk melawan kezaliman dan ketidakadilan,” katanya lagi.
Beliau menyeru semua ahli untuk bersatu dan bersedia menghadapi medan pilihan raya yang penuh cabaran pada masa depan. – Edisi 9

