NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan tindakan beliau menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden atas dasar tanggungjawab dan demi memperkukuhkan perpaduan serta kepimpinan dalam parti.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mendapat seruan dan sokongan padu daripada 201 cabang parti, ketika wujud kebimbangan terhadap kekosongan jawatan berkenaan susulan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil cuti dan mengosongkan pejabatnya.
“Saya tampil bukan untuk mencabar, tetapi demi mengisi kekosongan yang dikhuatiri akan melemahkan jentera parti,” kata beliau dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Nurul Izzah berkata, walaupun Rafizi yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden kemudian mengumumkan pencalonannya pada hari terakhir, beliau tetap menghormati keputusan itu dan bersedia untuk bekerjasama demi masa depan parti.
Beliau menegaskan keperluan untuk menolak budaya berpuak dan kecenderungan kepada sanjungan tidak bertempat, sebaliknya menyeru supaya semua pihak mendakap nilai kebertanggungjawaban, ketelusan dan perpaduan sebagai asas utama perjuangan.
“Parti ini bukan milik segelintir individu. Kemenangan pilihan raya dan kekuatan parti adalah hasil usaha semua, dari pimpinan pusat hingga ke akar umbi,” katanya.
Mengimbas kembali kerjasama erat bersama Rafizi dalam pelbagai kempen terdahulu termasuk semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, Nurul Izzah tidak menafikan peranan besar yang dimainkan oleh beliau sebagai Pengarah Strategik ketika itu.
“Kita pernah bersama menghadapi detik sukar termasuk rundingan getir dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya tetap menganggap Rafizi sebagai sahabat perjuangan yang tidak wajar diketepikan hanya kerana perbezaan pendekatan,” katanya.
Anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut menekankan bahawa pemilihan kali ini bukan soal kuasa peribadi tetapi merupakan titik tolak bagi memperkukuh suara rakyat, khususnya golongan pekerja gig, ibu tunggal dan rakyat berpendapatan rendah yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup.
“Apa yang mendorong saya sejak dahulu bukanlah kuasa dan pangkat, tetapi impak perubahan kepada rakyat,” tegasnya.
Nurul Izzah menyatakan komitmen untuk terus setia kepada perjuangan parti tidak kira apa jua keputusan perwakilan yang membuat pemilihan esok.
“Sekiranya diberi amanah, saya akan bekerjasama erat dengan Rafizi demi parti. Jika sebaliknya, saya tetap akan mendukung usaha KEADILAN untuk terus kuat dan bersatu,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan akan menunaikan ibadah haji sejurus selepas Kongres PKR dan seterusnya meneruskan siri jelajah mendengar suara akar umbi di seluruh negara. – Edisi 9

