Sunday, July 19, 2026

VM2026: 103 laluan baharu, 7 program ikonik diperkenal

Kerajaan komited memacu pelancongan sebagai antara tunjang pertumbuhan ekonomi negara dengan menyasarkan peningkatan ketibaan pelawat serta hasil pendapatan yang lebih tinggi.

Mesti Baca

MALAYSIA bersedia mengorak langkah besar dalam usaha melonjakkan sektor pelancongan negara apabila sebanyak 103 laluan penerbangan baharu ke negara ini diluluskan.

Penerbangan tersebut melibatkan destinasi dari China, India, Indonesia, Kazakhstan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Uzbekistan dan United Kingdom.

Perkembangan ini diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya hari ini.

Menurut Zahid, pembukaan laluan baharu itu mencerminkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia dan bakal menjadi pemangkin kepada Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Kerajaan komited memacu pelancongan sebagai antara tunjang pertumbuhan ekonomi negara dengan menyasarkan peningkatan ketibaan pelawat serta hasil pendapatan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid berkata, seiring dengan itu tujuh program ikonik berskala besar telah dikenal pasti sebagai daya tarikan utama kempen VM2026, yang akan digerakkan secara bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan bersama pihak industri.

Program-program tersebut ialah Malaysia Mega Sale iaitu jualan besar-besaran di seluruh negara bagi menarik pelancong membeli-belah; Festival Budaya Malaysia yang menonjolkan kepelbagaian seni dan budaya tempatan sebagai aset pelancongan serta Global Meet iaitu penganjuran konvensyen dan persidangan antarabangsa yang menjadikan Malaysia destinasi MICE pilihan.

Program lain ialah Hari Pelancongan Sedunia & Persidangan Pelancongan Dunia iaitu majlis peringkat global yang mengukuhkan reputasi negara dalam landskap pelancongan antarabangsa; Pelancaran Rasmi Kempen VM2026, acara kemuncak permulaan kempen dengan penyertaan rakan strategik antarabangsa.

Turut bakal diadakan VM2026 Year-End Sale iaitu pemberian diskaun dan promosi akhir tahun bagi merangsang kemasukan pelancong serta Ambang Sambutan VM2026 yang menjadi acara khas menjelang tahun pelaksanaan, menampilkan persembahan mega dan aktiviti rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyeru semua agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan VM2026 menerusi pendekatan “whole-of-government” yang menyeluruh dan inklusif.

Beliau turut menekankan kepentingan layanan mesra di pintu masuk negara, terutamanya oleh pegawai barisan hadapan, dalam meninggalkan impak positif kepada pelancong dan membina imej Malaysia sebagai negara yang menyambut tetamu dengan penuh adab dan budaya.

Katanya, Kempen VM2026 juga akan diperkuat melalui strategi seperti pemerkasaan jenama Malaysia Truly Asia dan Cuti-Cuti Malaysia, promosi bersama dengan syarikat penerbangan serta pendekatan segmentasi pasaran berimpak tinggi.

“Sebagai tambahan, inisiatif Greening Protocol yang diterajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Negeri Selangor turut dipersetujui untuk dilaksanakan, menekankan pembangunan pelancongan mampan melalui teknologi rendah karbon dan ruang hijau bandar,”katanya. – Edisi 9

Mesyuarat turut disertai oleh wakil kementerian dan agensi utama termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, DBKL dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan