SEMBILAN anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut manakala lima cedera parah apabila trak yang membawa anggota berkenaan bertembung dengan sebuah lori muatan batu, pagi ini.
Nahas berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi ini ketika anggota terbabit dalam perjalanan pulang selepas bertugas mengawal perarakan Hari Wesak.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 pagi melibatkan kemalangan kenderaan FRU yang membawa 15 penumpang dan pemandu.
“Kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugasan Op Chariot di Teluk Intan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit dikeluarkan dan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan.

Sementara itu, Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan seorang lagi mangsa kemalangan terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
“Lapan anggota maut di lokasi kejadian, seorang lagi disahkan maut di hospital, manakala lima lagi anggota cedera ringan.
“Semua mangsa maut dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Ini merupakan nahas terburuk melibatkan anggota FRU dalam tempoh 35 tahun.
Pada tahun 1990, 11 anggota pasukan berkenaan maut dalam kemalangan membabitkan trak FRU dan sebuah bas di Lebuh Raya Karak.
Dalam kejadian itu, trak yang membawa anggota terbabit dirempuh oleh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek ketika menuruni cerun.
Nahas tersebut mengorbankan 15 nyawa, termasuk empat orang awam. – Edisi 9

