MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan mengutamakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta hafaz al-Quran untuk pembiayaan pengajian ke luar negara mulai tahun ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prasyarat itu bagi memastikan agensi dapat melahirkan lebih ramai hufaz profesional dalam pelbagai bidang strategik di bawah Program Pembangunan Bakat Muda (YTP).
Beliau berkata, inisiatif itu bukan hanya untuk pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab tetapi terbuka kepada pelajar cemerlang dari sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan maahad tahfiz sama ada di bawah kerajaan negeri atau persendirian.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk memasukkan dasar ini ke dalam polisi pembiayaan bermula tahun ini,” katanya hari ini.
[Klik untuk borang permohonan YTP MARA]
Beliau berkata, matlamatnya ialah MARA mahu melahirkan lebih ramai hufaz profesional yang akan memimpin negara dalam pelbagai bidang strategik, berteraskan al-Quran dan nilai Ulul Albab.
Katanya, ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Tahfiz Negara yang digagaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Insya-Allah, kita sama-sama lahirkan kepada pengemudi tamadun manusia yang akan datang dan membina generasi Khaira Ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
Permohonan YTP MARA bagi melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara mula dibuka mulai semalam susulan pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2024 pada Khamis lalu.
Keputusan SPM 2024 menyaksikan seramai 355,933 calon atau 94.0 peratus layak diberikan sijil SPM berbanding 349,297 calon (93.5 peratus) pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 6,636 calon (0.5 peratus).
Manakala pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran tahun lalu juga bertambah iaitu seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus.
Kementerian Pendidikan berkata, jumlah itu meningkat seramai 11,713 calon atau 3.1 peratus iaitu pertambahan sebanyak 2,466 calon atau 0.6 peratus berbanding tahun lalu. – Edisi 9

