Tuesday, June 16, 2026

Pelajar ‘bijak matematik’, Leia Mayssa dapat tawaran ke MIT

Mesti Baca

PELAJAR Kolej Mara Banting yang mewakili negara dalam International Mathematical Olympiad (IMO) tiga tahun berturut-turut, Leia Mayssa Masyerin bakal melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor dunia, Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat.

Leia Mayssa yang menyertai IMO pada 2022, 2023 dan 2024 akan mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer di universiti itu bagi sesi kemasukan tahun ini.

Kejayaan Leia Mayssa ke MIT itu hasil keputusan yang cemerlang dalam PERMATA@Pintar High School Diploma, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kecemerlangan Leia Mayssa turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap kejayaan itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan MARA, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Leia Mayssa Masyerin atas kejayaan menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, dalam bidang Sains Komputer bagi sesi kemasukan 2025. 

“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan MARA, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” kata Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini.

Sebelum ini, Leia telah mengharumkan nama negara dengan mewakili Malaysia dalam (IMO) selama tiga tahun berturut-turut di Norway (2022), Jepun (2023) dan United Kingdom (2024). 

Dalam pertandingan berprestij ini, Leia Mayssa berjaya meraih satu pingat gangsa dan dua Honorary Mentions, membuktikan kecemerlangannya dalam bidang Matematik di pentas dunia.

Tidak terhenti di situ, Leia juga terpilih menyertai Kem Matematik Antarabangsa, Maths Beyond Limits (MBL) di Poland, sebuah program eksklusif yang menghimpunkan pelajar cemerlang dari seluruh dunia untuk mengembangkan bakat dalam Matematik dan membina jaringan akademik global.

Malahan dia mencipta sejarah negara dengan menjadi satu-satunya wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih untuk menyertai MBL.

“Kejayaan Leia adalah simbol keupayaan pelajar Malaysia untuk bersaing dan cemerlang di peringkat tertinggi dunia. 

“Dengan keazaman, disiplin dan semangat yang tinggi, tiada batasan untuk kita menggapai kejayaan.

“Saya mendoakan agar perjalanan Leia di MIT dipermudahkan dan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mengejar impian mereka. Malaysia bangga dengan kejayaanmu, Leia!,” kata Zahid.

Untuk rekod, MIT merupakan universiti terunggul dunia dengan menduduki ranking no. 1 dalam senarai QS World University Rankings selama 13 tahun berturut-turut. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan