SEMUA pihak khususnya kerajaan negeri diminta memberikan keutamaan dalam menyelesaikan masalah rakyat selain memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur.
Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat Negeri Pulau Pinang di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara malam tadi.
Perdana Menteri berkata, keutamaan juga perlu diberikan kepada penyelesaian membabitkan kemiskinan tegar, masalah banjir dan perumahan bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Kalau tanya saya apakah keutamaan selain infrastruktur, saya kata selesaikan masalah kemiskinan tegar (dan) masalah banjir.
“Takkan tiap-tiap tahun banjir, (negara) merdeka dah hampir 70 tahun tetapi banjir setiap tahun dan tidak ada langkah-langkah yang cepat dan berani,” kata beliau dalam majlis tersebut.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.
Pada masa sama, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pulau Pinang atas usaha membangunkan Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru MADANI, yang merupakan projek perumahan terbesar dan dijangka akan dilancarkan tahun ini.
Projek pembinaan 35,000 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar RM13 bilion di Pulau Pinang itu, bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna dan taman permainan.
Anwar kemudian menyaksikan penyerahan sumbangan kepada dua kariah masjid iaitu Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah dan Masjid Sungai Kechil, kedua-duanya di daerah Seberang Perai Selatan.
“Saya turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan murid sekolah menengah daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Dalam suasana harmoni, saya juga sempat menyantuni masyarakat setempat dan mengeratkan silaturrahmi bersama pemimpin dan warga Bandar Tasek Mutiara.
“Moga keberkatan Ramadan terus mengiringi kita semua dalam mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Edisi 9

